Forklift langgar injap tangki punca gas ammonia bocor

Keadaan di lokasi kebocoran ammonia di sebuah kilang dekat Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, di Shah Alam pada Jumaat.
Keadaan di lokasi kebocoran ammonia di sebuah kilang dekat Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, di Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelanggaran salah satu injap pada tangki ammonia dipercayai menjadi punca kebocoran gas berkenaan di sebuah kilang dekat Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati pelanggaran itu berlaku kira-kira jam 11.30 pagi.

"Siasatan awal mendapati kebocoran berlaku apabila sebuah forklift terlanggar injap pada salah satu tangki ammonia semasa kerja-kerja mengalihkan tangki berkenaan dijalankan.

"Kejadian mengakibatkan seramai 33 individu terdiri daripada 14 pekerja wanita dari kilang berkenaan dan 19 pekerja lelaki dari kilang bersebelahan mengalami sesak nafas," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Katanya, kesemua mangsa terlibat kemudiannya dihantar ke hospital sekitar Lembah Klang untuk rawatan lanjut.

"Kesemua mangsa kini difahamkan dalam keadaan stabil.

"Ekoran kebocoran itu, pihak kilang terbabit kemudiannya telah menghubungi penyedia peralatan berkaitan untuk kerja pembaikan," katanya.

Pada Jumaat, beberapa pekerja dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas ammonia yang bocor dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, di sini.

Artikel Berkaitan:

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada jam 11.15 pagi sebelum sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bersama dua buah jentera kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.