Jumlah miskin tegar turun lebih separuh di Negeri Sembilan

Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar di MBS pada Isnin.
Aminuddin (tengah) pada sidang akhbar di MBS pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 1,746 daripada 3,530 ketua isi rumah (KIR) di Negeri Sembilan telah berjaya dikeluarkan daripada status miskin tegar.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah tersebut direkodkan sehingga 31 Oktober lalu berdasarkan statistik data E-Kasih seperti dilaporkan oleh pihak Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) Negeri Sembilan.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi kerjasama pelbagai jabatan dan agensi akan mengambil inisiatif membantu lebihan yang masih berada di bawah kategori itu bagi memastikan miskin tegar dapat dinoktahkan di negeri ini hujung tahun ini.

"Saya telah mengarahkan pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan untuk adakan mesyuarat berkala kalau perlu seminggu sekali sehingga 31 Disember ini mengenainya.

"Alhamdulillah, kita telah dapat kerjasama daripada banyak agensi dan saya juga mahu agensi ini mempercepatkan proses mereka untuk membantu golongan miskin tegar ini dan jika masih ada masalah, kita akan pastikan mereka ini dapat bantuan sewajarnya daripada kerajaan negeri," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) di dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Isnin.

Aminuddin dalam pada itu berkata, selaras dengan sasaran kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan menjelang hujung tahun ini, agenda berkaitan kesejahteraan rakyat turut dibincangkan secara tetap di dalam mesyuarat MTPNg.

Tambahnya, ini bagi membolehkan kerajaan negeri memantau dengan teliti ke atas statistik kemiskinan di negeri ini dan seterusnya mengambil langkah-langkah terbaik untuk memastikan golongan miskin di negeri ini terus dibantu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan

"Saya juga telah meminta agar semua jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mengadakan lebih banyak program secara kolaborasi dalam usaha untuk memastikan golongan miskin di negeri ini terus mendapat pembelaan yang sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

"Kita cuba yang terbaik dan kita akan dapatkan laporan dari semasa ke semasa untuk pastikan miskin tegar ini dapat kita sifarkan,"katanya.