BATC: Malaysia lawan Singapura di suku akhir

Zii Jia (kiri) menewaskan Chun Yi straight set untuk memberi mata pertama buat Malaysia ketika menewaskan Taiwan 3-2. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
Zii Jia (kiri) menewaskan Chun Yi straight set untuk memberi mata pertama buat Malaysia ketika menewaskan Taiwan 3-2. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
A
A
A

SKUAD badminton lelaki negara akan membuat perhitungan dengan Singapura dalam aksi suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 pada jam 4 petang Jumaat.

Malaysia sebelum itu muncul juara Kumpulan B setelah menewaskan Taiwan 3-2 dalam aksi terakhir kumpulan lewat malam Khamis.

Pasukan wanita negara yang muncul naib juara Kumpulan Y pula akan menentang Indonesia dalam saingan suku akhir pada jam 10 pagi Jumaat.

Dalam saingan terakhir kumpulan, skuad lelaki negara meraih mata pertama menerusi Lee Zii Jia yang menundukkan Lin Chun Yi 21-16, 21-13 dalam aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam.

Jun Hao meraikan kemenangan selepas menewaskan Chia Hao. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
Jun Hao meraikan kemenangan selepas menewaskan Chia Hao. Foto Sinar Harian-ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

"Perlawanan berjalan lancar. Apa yang jurulatih arah, saya lakukan dan dapat keluarkan 80 peratus menjadikan strategi dan skil sangat berkesan," katanya kepada media sejurus tamat perlawanan pada Khamis.

Beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang tidak beraksi ketika menentang Brunei dan Kazakhastan pula gagal meneruskan rentas kemenangan setelah tewas kepada Lee Jhe Huei-Lee Yang 21-23, 17-21 dalam tempoh 34 minit permainan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Malaysia kemudian bangkit mengutip mata kedua menerusi kemenangan straight set Leong Jun Hao yang membenam Lee Chia Hao 21-19, 21-17.

Artikel Berkaitan:

Rentak kemenangan kem negara kemudian diteruskan oleh pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang mudah mematahkan cabarab Wang Chi Lin-Yang Po Han menerusi kemenangan 21-19, 21-14 untuk meletakkan Malaysia di depan 3-1.

Pemain perseorangan ketiga Eogene Ewe pula terpaksa akur tewas straight set kepada Chi Yu Jen 16-21, 14-21.