Anwar bertemu Dr Mahathir lagi

Gambar yang dimuatnaik Anwar di Facebook miliknya memaparkan pertemuan dengan Dr Mahathir pada hari ini.
Gambar yang dimuatnaik Anwar di Facebook miliknya memaparkan pertemuan dengan Dr Mahathir pada hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hari ini.

Anwar menerusi hantaran di Facebooknya kira-kira sejam lalu berkongsi secara ringkas inti pati pertemuan mereka, namun dilihat langsung tidak menyentuh berkaitan soal peralihan kuasa perdana menteri.

Anwar berkata, dalam pertemuan tersebut, beliau dan Dr Mahathir membincangkan perkembangan isu-isu semasa mutakhir ini yang berlaku di dalam dan luar negara.

"Antara yang turut disentuh termasuk hal ehwal berkaitan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), selain turut berkesempatan membincangkan tentang penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 yang baharu berlangsung penghujung tahun lalu," tulisnya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut memuat naik sekeping gambar memaparkan pertemuannya dengan Dr Mahathir.

Hantaran itu mendapat 3,700 tanda suka selain mendapat 134 perkongsian.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar bertemu Tun Mahathir bincang isu dalam, luar negara

Selain itu, sebanyak 727 komen berbaur sindiran serta tidak puas hati turut disuarakan netizen susulan perkongsian gambar serta status Anwar itu.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Mei 2019, Anwar mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya untuk berbincang mengenai beberapa isu mendesak antaranya mengenai kebimbangan PKR dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat terhadap ancaman Amerika Syarikat (AS) tke atas kepimpinan Iran.

Pertemuan seterusnya berlangsung selama setengah jam pada 21 November 2019 di antara kedua-dua pemimpin itu di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Susulan pertemuan itu, Anwar turut mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa isu yang dibincangkan dan mendapat persetujuan Dr Mahathir.

Antaranya berkaitan dakwaan terhadap kalangan anggota jemaah menteri yang menyalahgunakan kuasa atau meraih dukungan politik menerusi pemberian projek, Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) termasuk berkaitan peralihan kuasa antara mereka berdua perlu dijalankan secara aman dan teratur.