Perinci mekanisme gred Beras Putih Malaysia Madani - Cake

A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan diminta memperincikan mekanisme pelaksanaan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import dalam pasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, ini kerana gred bagi beras tempatan dan import berbeza dan kualitinya juga tidak sama.

Menurutnya, sekiranya kesemua gred disatukan dan dikategorikan sebagai beras tunggal, apakah kerajaan memberi jaminan beras ditawarkan berkualiti dan bukannya beras hancur.

“Sekarang dimaklumkan terlalu umum, mekanisme tak dimaklumkan. Rakyat sekarang bijak dan mahu tahu gred beras yang ditawarkan sebab gred beras tempatan dan import berbeza.

“Sekiranya dicampurkan gred, pengguna tidak ada hak untuk memilih dan terpaksa menggunakan beras yang itu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau jualan beras di kedai runcit Pasar Besar Alor Setar di sini pada Khamis.

Yusrizal berkata, ia menimbulkan persoalan kalangan pengguna dan peniaga yang bimbang kualiti beras semakin merosot sekiranya tiada lagi pilihan gred ditawarkan.

“Harus diingat gred beras tempatan dan beras import tidak sama. Ada beras import ditawar harga lebih rendah tetapi mungkin grednya lebih rendah daripada beras tempatan.

“Jika hanya ada Beras Malaysia Madani, adakah kedua-dua kategori beras ini dicampurkan atau diasingkan atau dijual tidak mengikut gred. Ia menimbulkan kerisauan berhubung kualiti beras kerana ada beras import kualitinya agak kurang elok atau beras hampas,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Cake turut mempersoalkan perbezaan harga antara beras tempatan dan import sama ada ditanggung pengguna atau diberikan subsidi oleh kerajaan.

“Harga beras import RM32 hingga RM38 untuk 10 kilogram (kg), beras tempatan RM26 10kg), kalau dicampurkan kategori beras ini, adakah beras import diberikan subsidi.

“Akta Kawal Selia masih diguna pakai atau dipinda kerana peranannya untuk mengawal bekalan beras dan subsidi beras,” soalnya.

Yusrizal (kanan) ketika meninjau jualan beras di kedai runcit Pasar Besar Alor Setar pada Khamis.
Yusrizal (kanan) ketika meninjau jualan beras di kedai runcit Pasar Besar Alor Setar pada Khamis.

Yusrizal berharap pelaksanaan Beras Malaysia Madani bukan bersifat sementara kerana dibimbangi insiden lalu, iaitu beras tempatan hilang di pasaran berulang lagi.

“Sebenarnya pengguna risau berlaku lagi kenaikan pada masa hadapan. Diharap semua isu berbangkit dilihat semula oleh Jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup (NACCOL),” katanya.

Pada Rabu, Pengerusi NACCOL, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memaklumkan, kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.

Penetapan harga siling baru bagi beras berkenaan akan berkuat kuasa 19 Februari dan akan berada di pasaran bermula 1 Mac. Harga siling tunggal untuk Beras Putih Malaysia Madani ialah RM30 bagi 10 kg, RM15.50 (5 kg) dan RM3.50 bagi satu kg

Dalam pada itu, Yusrizal menyifatkan langkah tersebut sebagai solusi jangka pendek dan memerlukan pendekatan lain untuk jangka panjang.

“Untuk jangka panjang mungkin perlu kaji dasar atau akta kawal selia serta sistem keseluruhan. Mekanisme ini pun kita nampak banyak kelompongan, bimbang ia bersifat sementara,” jelasnya.

Menurutnya lagi, harga ditawarkan RM30 (10kg) masih membebankan pengguna sekiranya pendapatan rakyat tidak meningkat selari dengan peningkatan kos sara hidup.

“Tingkatkan gaji minimum untuk rancakkan ekonomi agar pengguna tidak terbeban. Sudahlah bil utiliti (bekalan air) meningkat selain barangan import disebabkan ringgit merudum. Ia beri kesan kepada pendapatan isi rumah,” jelasnya.

Yusrizal turut mencadangkan agar harga lantai jualan padi RM1,300 dinilai semula dan dinaikkan selari dengan kos penanaman padi yang kian meningkat.

“Ada petani mengeluh nilai tersebut masih rendah disebabkan peningkatan kos tanaman serta kos tuaian. Mereka bimbang kelak jejas hasil tuaian dalam negara. Setakat ini petani masih lagi mampu bertahan dengan kenaikan kos, namun bimbang pada masa hadapan, mereka tak lagi mampu dan berhenti menanam padi menyebabkan bekalan susut,” katanya.