BATC: Malaysia akur tewas 1-4 kepada Thailand

Jin Wei (kanan) mengakui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang suku akhir BATC di Shah Alam pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Jin Wei (kanan) mengakui banyak kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang suku akhir BATC di Shah Alam pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SKUAD badminton wanita negara terpaksa berpuas hati bergelar naib juara Kumpulan Y Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) setelah tewas 1-4 kepada Thailand pada Khamis.

Pertarungan itu menjadi penentuan untuk bergelar juara setelah kedua-dua pasukan sudah mengesahkan slot suku akhir selepas masing-masing menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu.

Meskipun turun sebagai 'underdog', Malaysia tetap memberikan tentangan sengit, namun terpaksa akur dengan kehebatan pasukan negara jiran itu.

Pemain perseorangan, Goh Jin Wei yang turun beraksi pada permainan pertama gagal meraih mata setelah tewas kepada Supanida Katethong 21-13, 26-24.

Jin Wei mengakui telah memberikan yang terbaik, namun gagal menyaingi pemain lawan yang lebih agresif.

"Saya bermain lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini, tetapi gagal mengekalkan memontum dalam set terakhir permainan.

Letshanaa tewas straight kepada Busanan dalam saingan terakhir kumpulan BATC di Shah Alam pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID
Letshanaa tewas straight kepada Busanan dalam saingan terakhir kumpulan BATC di Shah Alam pada Khamis. Foto Sinar Harian-MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Apapun saya perlu perbaiki corak permainan jika diturunkan dalam perlawanan suku akhir," ujar Jin Wei sejurus tamat permainan.

Artikel Berkaitan:

Beregu utama negara, Pearly Tan-M Thinaah yang menjadi sandaran untuk mengutip mata buat Malaysia juga tidak kesampaian setelah dikejutkan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 22-20, 15-21, 19-21.

Pearly-Thinaah sebelum ini menumpaskan Jongkolphan-Rawinda sebanyak enam kali iaitu pada Sukan Asia 2022, Terbuka Hong Kong 2023, Indonesia Masters 2022, Piala Uber 2022, Jelajah Dunia Akhir 2022 dan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2021.

Perjuangan skuad negara kemudian diteruskan oleh K Letshanaa yang beraksi dalam permainan ketiga, namun pemain berusia 20 tahun itu gagal menyaingi kehebatan Busanan Ongbamrungphan apabila tewas 17-21, 18-21 menjadikan kedudukan Thailand di depan dengan tiga mata.

Pasangan Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing yang turun menentang adik-beradik, Benyapa-Nuntakarn Aimsaard juga gagal mengutip mata buat negara setelah tewas 21-17, 21-18 dalam tempoh 37 minit permainan.

Perseorangan ketiga Wong Ling Ching memberi sedikit kelegaan buat kem negara apabila mengutip mata saguhati setelah menundukkan Pornpicha Choeikeewong 21-19, 15-21, 21-19.

"Saya tidak fikir banyak, cuma fokus kepada permainan. Namun masih ada lagi beberapa kesilapan yang perlu diperbaiki menjelang suku akhir esok (Jumaat)," katanya.