Mana hilangnya beras tempatan, soal Rosol

Rosol
Rosol
A
A
A

HULU TERENGGANU - Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid mempersoalkan ke mana hilangnya beras tempatan dalam pasaran susulan kesukaran mendapatkan bekalan makanan ruji rakyat Malaysia itu buat masa ini.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu dengan nada sinis mendakwa sama ada bekalan beras tempatan tersebut hanya dikhususkan bagi Jualan Rahmah diadakan di negara ini.

"Jadi di sini saya ingin bertanya kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), ke mana perginya beras-beras tempatan ini? Kebanyakan yang dijual di pasar raya 100 peratus merupakan beras import.

"Padahal kita tahu negara ini mempunyai kawasan penanaman padi seperti di Sekinchan, Selangor dan Kedah, namun ke mana hilangnya beras tempatan.

"Saya difahamkan adakah semua itu tertumpu pada Jualan Rahmah sahaja? Jualan Rahmah pun tidak meliputi di seluruh negara. Jadi kita minta kementerian dan pihak terlibat selesaikan masalah ini segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan beras di salah sebuah pasar raya di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Rosol turut mendakwa terdapat berlaku sindiket beras tempatan yang telah dibungkus semula menjadi beras import juga antara punca kekurangan bekalan beras tempatan dalam pasaran.

Justeru, Rosol menggesa supaya kerajaan terutama Kawalselia Padi dan Beras (KPB) mengambil tindakan secara serius dan sewajarnya terhadap permasalahan dihadapi rakyat ketika ini.

Artikel Berkaitan:

"Ini memang satu keadaan yang cukup tertekan terutama pada golongan B40 dan bekerja sendiri lebih-lebih lagi menghadapi Ramadan dan perayaan nanti.

"Ia tak termasuk lagi isu bawang, gula dan minyak masak di mana semua barang ini merupakan keperluan asas yang terpaksa dibeli oleh semua rakyat.

"Jadi kita minta kerajaan supaya selesaikan masalah tersebut dan lakukan tindakan sewajarnya bagi ringankan beban kos sara hidup rakyat," ulasnya.