Bot tunda bawa muatan arang batu ditahan

Sebuah bot tunda bersama tongkang yang membawa muatan arang batu ditahan Maritim Malaysia pada Rabu. Foto Maritim Malaysia Pahang
Sebuah bot tunda bersama tongkang yang membawa muatan arang batu ditahan Maritim Malaysia pada Rabu. Foto Maritim Malaysia Pahang
A
A
A

KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot tunda bersama tongkang di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat Tanjung Duata, perairan Pulau Tioman pada Rabu.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, penahanan itu dibuat selepas mendapati bot berkenaan bersauh secara haram dan menceroboh taman laut di perairan tersebut.

"Kita mengesan bot tunda dan tongkang yang membawa muatan arang batu anggaran lebih kurang 7.4 tan metrik sedang bersauh dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot tunda menggunakan nama TB LL ARMAINI dan tongkang BG LL 3022 gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan menceroboh kawasan taman laut tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, 10 kru termasuk nakhoda warganegara Indonesia berumur lingkungan 19 hingga 51 tahun ditahan kerana mempunyai beberapa dokumen bot yang meragukan.

Katanya, kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen melapor ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut Malaysia.

Sebuah bot tunda bersama tongkang di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat Tanjung Duata, perairan Pulau Tioman pada Rabu. Foto Maritim Malaysia Pahang
Sebuah bot tunda bersama tongkang di kedudukan lebih kurang 0.2 batu nautika barat Tanjung Duata, perairan Pulau Tioman pada Rabu. Foto Maritim Malaysia Pahang

Selain itu, kes juga disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana gagal mengemukakan dokumen kebenaran bersauh di dalam kawasan taman laut oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Kamal Ariffin berkata, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim terutamanya industri perkapalan terdiri daripada pemilik, pengusaha perkapalan dan nakhoda kapal agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Tegasnya, tindakan akan diambil oleh Maritim Malaysia tanpa kompromi dengan mana-mana pihak dalam usaha membanteras aktiviti menceroboh taman laut dan bersauh secara haram ini.

Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999 yang beroperasi 24 jam untuk maklum balas segera.