Dua maut: Kereta dipecut laju selepas diekori JPJ

Keadaan kereta yang dinaiki lima mangsa remuk teruk akibat terbabas dan melanggar pokok selepas pemandu memecut laju ketika diekori kenderaan JPJ.
Keadaan kereta yang dinaiki lima mangsa remuk teruk akibat terbabas dan melanggar pokok selepas pemandu memecut laju ketika diekori kenderaan JPJ.
A
A
A

SIPITANG - Kereta yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan dua remaja maut manakala tiga lagi cedera termasuk dua parah dipercayai memecut laju selepas diekori kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintenden Mail Sundongi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu daripada JPJ Sipitang pada jam 5.08 petang Rabu.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Saga yang dinaiki lima mangsa itu dalam perjalanan balik ke Kampung Sibubu Jalan Sabah Forest Industries (SFI).

"Ketika itu, sebuah kenderaan milik JPJ Sipitang yang sedang membuat rondaan telah mengekori kenderaan mangsa dari belakang dan memasang 'beacon light'.

"Apabila pemandu Proton Saga melihat kenderaan JPJ berada di belakang, dia terus memecut laju dan setibanya di jalan selekoh menuruni bukit, kenderaan tersebut hilang kawalan hingga menyebabkan mereka terbabas ke bahu jalan kiri lalu melanggar pokok yang tumbang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Susulan kejadian itu, kesemua mangsa mengalami kecederaan dan dikeluarkan daripada kenderaan oleh orang awam serta pasukan bomba.

"Pemandu Mohd Khairul Abdullah, 19, dan penumpang belakang, Norsiah@Bibi Faizal, 14, telah meninggal dunia.

"Dua lagi mangsa sebagai penumpang iaitu Amirin Enggu, 8, mengalami pendarahan di bahagian kepala dan kakaknya, Ayudia, 17, mengalami pendarahan bahagian kepala, lelangit tercucuk, rahang gigi patah, tulang pingul kiri dan kanan patah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, Sinar Harian pada Rabu melaporkan dua mangsa maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan mereka naiki terbabas di Jalan SFI di sini.