Pandu laju kesalahan paling tinggi

Lokman menyertai Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di Ipoh pada Rabu.
Lokman menyertai Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kesalahan memandu melebihi had laju paling tinggi dicatat dalam Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024 setakat 13 hari operasi yang bermula 1 Februari lalu di seluruh negara.

Pengarah Kanan Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Lokman Jamaan berkata, sebanyak 19,722 notis dikeluarkan bagi kesalahan memandu melebihi had laju daripada jumlah keseluruhan notis yang dikeluarkan iaitu 27,329.

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi itu juga, pihak JPJ turut menerima 3,440 kes pelbagai kesalahan menerusi aduan awam yang dimuat naik di e-aduan@jpj.gov.my dan aduantrafik@jpj.gov.my bagi tempoh sama.

"Aduan awam ini kita terima banyak melibatkan kesalahan menggunakan lorong kecemasan. Kesalahan ini sangat perlu diambil tindakan kerana mengganggu kelancaran trafik dan kelancaran kenderaan seperti ambulans, bomba, polis dan sebagainya.

Pegawai JPJ bersama beberapa agensi terlibat memeriksa kenderaan ketika Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024.
Pegawai JPJ bersama beberapa agensi terlibat memeriksa kenderaan ketika Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024.

"Selain itu aduan melanggar lampu isyarat dan memotong di garisan berkembar sering diadukan kepada kami dan kami akan mengambil tindakan," katanya kepada pemberita ketika menyertai Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024 di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz di sini pada Rabu.

Hadir sama pada operasi terbabit, Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan dan turut disertai beberapa agensi lain seperti Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam perkembangan berkaitan, Lokman berkata, pihaknya akan mengeluarkan Notis Temu Siasat di bawah Seksyen 114 Akta 333 dalam tempoh tiga hari bekerja kepada pemilik kenderaan yang melakukan kesalahan tersebut untuk hadir ke pejabat JPJ bagi prosedur siasatan dan penyelesaian kes.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mana-mana pemilik yang gagal hadir dalam tempoh 14 hari daripada notis Seksyen 114 dikeluarkan, mereka akan dikenakan tindakan saman P22 dan sekiranya gagal diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan termasuk gagal hadir ke mahkamah akan disenarai hitam.

Sekatan jalan raya dibuat bagi memeriksa kenderaan sempena Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024.
Sekatan jalan raya dibuat bagi memeriksa kenderaan sempena Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024.

"Usaha dilakukan ini bertujuan membudayakan pematuhan undang-undang serta memupuk rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan-peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya terutama kesalahan yang menjadi punca utama kepada kecederaan parah dan kemalangan maut.

"Sehubungan itu, JPJ akan melaksanakan strategi penguatkuasaan secara berterusan bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya. JPJ juga ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengguna yang membuat aduan awam berkenaan," katanya.

Lokman berkata, selaras dengan Operasi Khas Bulan Perayaan Tahun 2024 ini, JPJ akan terus memfokuskan kepada penguatkuasaan Fasa 2 meliputi Ops Khas Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA), Ops Khas Kenderaan Barangan (KPB), Ops Khas Motosikal, Ops Khas Sembilan (9) Kesalahan Utama dan Ops Khas Teknikal mulai 12 hingga 29 Februari di seluruh negara.