Proses kira undi Pemilu 2024 untuk Malaysia sedang berlangsung

Kamera diletakan di setiap sudut ketika proses pengiraan undi bagi Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 di Pusat Pengiraan undi awal di WTCKL pada Rabu. - Foto Bernama
Kamera diletakan di setiap sudut ketika proses pengiraan undi bagi Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia (KPU) sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 di Pusat Pengiraan undi awal di WTCKL pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses perhitungan suara atau pengiraan undi bagi undi awal sempena Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 Indonesia untuk Tempat Pemungutan Suara (TPS) Pusat Dagangan Dunia (WTC) dilaksanakan di lokasi sama bermula pada 3.30 petang Rabu.

Difahamkan 223 kotak surat suara untuk proses pengundian awal yang berlangsung di WTC pada Ahad lepas tidak dikeluarkan dari TPS berkenaan dan dikawal ketat sehingga detik pengiraan undi hari ini.

Pengiraan undi dilakukan dengan disaksikan oleh wakil calon dan wakil parti yang bertanding dan difahamkan proses perhitungan suara di WTC itu bakal mengambil masa dua hari.

Jurucakap Panitia Pemilihan Luar Negeri Puji Sumarsono (he) ketika ditemui media yang dibenarkan meninjau proses pengiraan di WTC itu berkata lebih 20,000 pengundi hadir di WTC pada Ahad, yang mewakili kira-kira 10 peratus daripada 222, 945 pemilih berdaftar di Malaysia yang layak mengundi di pusat mengundi berkenaan.

"Turut dihitung di WTC ini ialah surat suara daripada Kotak Suara Keliling (KSK) termasuk dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu," katanya.

Pengundian menerusi KSK atau peti undi bergerak dilaksanakan mulai 1 Feb hingga Sabtu 10 Feb lepas di komuniti penempatan warga Indonesia serta kilang dan ladang.

WTC merupakan pusat mengundi terbesar di luar Indonesia sempena Pemilu 2024. Pusat pengundian awal yang turut dibuka di Malaysia pada Ahad ialah di Johor, Pulau Pinang, Sabah (Kota Kinabalu dan Tawau) dan Sarawak (Kuching).

Hari ini kira-kira 204.8 juta pengundi Indonesia layak keluar mengundi di lebih 800,000 TPS di seluruh republik itu.

Artikel Berkaitan:

Perlumbaan untuk merebut kepimpinan tertinggi bagi negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu melibatkan tiga pasangan yang bergandingan sebagai calon presiden dan naib presiden.

Ia melibatkan calon presiden Anies Baswedan dan calon naib presiden Muhaimin Iskandar atau Cak Imin; Menteri Pertahanan Prabowo Subianto dan regunya iaitu anak sulung Presiden Joko Widodo - Gibran Rakabuming Raka; dan pasangan Ganjar Pranowo, bekas gabenor Jawa Tengah bersama Mahfud MD, bekas Menteri Koordinator Politik, Undang-undang dan Hal Ehwal Keselamatan.

Proses pengiraan undi luar negeri di Sabah pula berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu dan Dewan Sri Tawau di Tawau.

Di KOTA KINABALU, Ketua Panitia Pemilihan Luar Negeri (PPLN) 2024 Kota Kinabalu Marwan Wardhana berkata lebih 2,000 petugas mengambil bahagian dalam proses pengiraan undi itu yang bermula pada pukul 2.30 petang melibatkan sebanyak 918 peti undi.

Beliau berkata, proses pengiraan undi itu dibahagikan kepada dua sesi dan pihaknya menyasarkan untuk menyelesaikan proses tersebut pada pukul 5 pagi esok.

"Semua itu harus dihitung sampai selesai dalam waktu 24 jam sejak ditutupnya tempat pungutan suara di Indonesia," katanya ketika ditemui pemberita pada proses pengiraan undi di SICC itu pada Rabu.

Menurutnya, kira-kira 79.83 peratus daripada 98,669 warga Indonesia dalam wilayah Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kota Kinabalu keluar mengundi sempena Pemilu 2024.

Di TAWAU, pengiraan undi di Dewan Sri Tawau bermula pada 2 petang yang melibatkan pengiraan untuk 376 kotak undi.

Ketua Panitia PPLN di Tawau Iskandar Suskmadi berkata, seramai 669 petugas terlibat dalam pengiraan undi itu yang dijangka selesai pada 12 tengah hari esok.

Menurutnya, 80 peratus daripada 59,442 pengundi di wilayah Tawau keluar mengundi pada Ahad lepas. - Bernama