EU perlu pertimbang cadangan larang bahan api berasas minyak sawit

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Eropah (EU), yang mencadangkan larangan terhadap penggunaan bahan api berasaskan minyak sawit Malaysia, perlu pertimbangkan semula cadangan itu agar tidak menjejaskan kehidupan pekebun kecil, kata seorang penyokong Planters United, pertubuhan bukan kerajaan yang dianggotai sekumpulan pekebun kecil.

Menyatakan larangan yang dicadangkan itu adalah tidak sah dan tiada justifikasi, Tiow Weng Theong menegaskan Malaysia telah mengambil semua langkah perlu dan berjaya melaksanakan pelbagai langkah kawalan alam sekitar dan pada masa yang sama meningkatkan taraf hidup komuniti itu menerusi aktiviti penanaman kelapa sawit.

EU mendakwa Malaysia menanam kelapa sawit dengan memusnahkan alam sekitar dan memberi kesan terhadap perubahan iklim serta merosakkan biodiversiti.

“Sebagai antara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, Malaysia tidak pernah mengabaikan aspek alam sekitar dalam pengeluarannya.

“Keseimbangan biodiversiti sentiasa diberi tumpuan dalam proses pengeluaran minyak sawit dan kami telah mengambil pelbagai inisiatif seperti melabur bagi perladangan lestari dan mematuhi amalan kemampanan kelapa sawit dunia,” katanya dalam kenyataan.

Tiow menegaskan Malaysia mempunyai rangkaian kelapa sawit mampan yang telah diperakukan mematuhi standard undang-undang dan peraturan antarabangsa.

“Oleh itu, tiada sebab untuk EU melarang bahan api berasaskan minyak sawit, berikutan semua langkah yang disebut di atas telah dilaksanakan dengan jayanya.

“Kami menggesa EU pertimbangkan semula cadangannya itu supaya kehidupan pekebun kecil tidak terjejas secara negatif dan niat baik negara seperti Malaysia tidak dipertikaikan dalam usaha mereka ke arah hala tuju yang betul,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!