163 perkhidmatan disediakan untuk pengunjung Program Madani Rakyat

Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari ini.
Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 163 perkhidmatan kerajaan bakal disediakan untuk pengunjung Program Madani Rakyat Zon Tengah yang akan berlangsung pada 23 hingga 25 Februari ini di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Zurihanmi Zakariya berkata, daripada jumlah itu, 121 ialah perkhidmatan agensi Persekutuan daripada 26 kementerian, manakala selebihnya perkhidmatan kerajaan negeri.

"Antara perkhidmatan rakan daripada kementerian dan jabatan (kerajaan) ialah kaunter diskaun saman trafik dan sebagaimana sambutan hebat pada program di Bukit Jalil tahun lepas, akan ada kaunter daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk penukaran topi keledar.

"(Turut disediakan) kaunter-kaunter perkhidmatan lain seperti kaunter semakan bantuan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma dan sebagainya ... pendek kata apa yang dicari akan ada di Kuala Selangor nanti,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini pada Rabu.

Beliau berkata, KPKM sebagai kementerian peneraju program itu akan membuka pavilion khusus dan menyediakan khidmat nasihat secara terus kepada pengunjung berkaitan pelbagai elemen antaranya teknologi padi, akuakultur, vertical farming selain menyediakan petting zoo sebagai tarikan kanak-kanak.

"Kita juga akan ada Jualan Agro Madani yang menawarkan paling kurang 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran,” katanya.

Zurihanmi dalam masa sama menyarankan masyarakat agar tidak melepaskan peluang untuk hadir dan memeriahkan Program Madani Rakyat di Kuala Selangor bagi mendapatkan informasi terkini dan penerangan berkaitan dasar dan aspirasi kerajaan di samping menikmati pelbagai perkhidmatan yang disediakan.

"Nasihat saya, pengunjung datang awal, cari tempat letak kereta yang selesa, kita akan sediakan tempat letak kereta dan trem, yang paling penting bawa duit yang secukupnya sebab akan ada juga pelbagai jualan dengan harga promosi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Majlis penutupan Program Madani Rakyat Zon Tengah dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Februari ini. - Bernama