[VIDEO] Mayat juruterbang, pembantu ditemui terbenam dua meter dalam tanah

A
A
A

KLANG - Mayat dua mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini ditemui terbenam dalam tanah pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan juruterbang dan pembantu juruterbang ditemui dalam kokpit pesawat.

Menurutnya, bahagian kokpit itu tertimbus sedalam dua meter di lokasi pesawat terhempas.

Hussein
Hussein

"Kedua-dua individu ini merupakan lelaki warga tempatan berumur 30-an dan 40-an.

"Usaha mengeluarkan mayat dua mangsa ini sedang giat dijalankan dan dianggarkan mengambil masa kira-kira tiga jam," katanya pada sidang media di lokasi nahas di sini pada Selasa.

Hussein berkata, pesawat terbabit merupakan jenis pesawat ringan milik sebuah syarikat penerbangan rekreasi.

"Pesawat terbabit disahkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum kapal seberat 1,300 kilogram ini terhempas di kawasan kelapa sawit di Kampung Tok Muda ini.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati panggilan terakhir pesawat kira-kira jam 1.35 petang, pihak berkuasa menerima maklumat berkaitan kejadian jam 1.45 petang," katanya.

Menurutnya, radius pencarian nahas melibatkan keluasan 50 meter.

"Hampir 45 peratus bahagian badan pesawat ini terbenam dalam tanah, dan kita mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa.

"Kita menggunakan bantuan jengkaut pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan kerja-kerja berkaitan," katanya

Hussein berkata, operasi mencari dan menyelamat di lokasi nahas digerakkan oleh sepasukan 150 anggota polis, bomba dan agensi berkaitan.

"Keadaan mayat itu bagaimanapun belum dikenal pasti namun dipercayai masih sempurna atau 'intact'.

"Mayat dua mangsa ini akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi bedah siasat," katanya.

Tambahnya, siasatan berkaitan nahas itu dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.

"Siasatan turut dijalankan mengikut kertas inkuari polis dan kematian mengejut (SDR).

"Insiden ini bagaimanapun tidak melibatkan orang awam lain atau penduduk berhampiran lokasi kejadian," katanya.