'Mujur pesawat tak jatuh atas rumah'

Suasana di kawasan kejadian sebuah pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda Kapar, Klang pada Selasa. Foto Bernama
Suasana di kawasan kejadian sebuah pesawat ringan yang terhempas di Kampung Tok Muda Kapar, Klang pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KLANG - "Mujur tak kena rumah saya," demikian luah seorang penduduk yang mendakwa rumahnya bergegar akibat pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini pada Selasa.

Asri Salim, 49, berkata, ketika kejadian dia sedang membaiki kenderaannya sebelum mendengar letupan kuat kira-kira jam 1.30 petang.

"Letupan itu kuat sehingga menggegarkan rumah saya. Saya sangkakan bunyi itu akibat kemalangan jalan raya, sebab jarak antara rumah dan jalan tak jauh.

Asri
Asri

"Bila saya keluar sahaja ke arah jalan saya lihat kepulan debu dan asap datang dari kawasan kebun kelapa sawit berdekatan," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Katanya, dia bersama seorang lagi rakan kemudian terus bergegas ke arah lokasi itu sebelum mendapati ada pesawat terhempas.

"Ketika itu, memang tak nampak sebarang pergerakan mangsa, cuma nampak keadaan pesawat terbabit dalam keadaan terjunam serta serpihan pesawat.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, tiba di lokasi nahas kira-kira jam 6 petang.
Kakitangan Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, tiba di lokasi nahas kira-kira jam 6 petang.

"Saya dan rakan terus menghubungi pihak berkuasa. Apa pun saya bersyukur sebab rumah saya tak kena sebarang serpihan pesawat terbabit," katanya.

Sementara itu, penduduk dikenali sebagai Kamal berkata, insiden pesawat terhempas itu sangat mengejutkan.

"Kalau kemalangan libat kereta atau motosikal itu mungkin biasa, tapi ini melibatkan pesawat, memang luar biasa.

"Mujur kejadian tak libatkan orang ramai atau kena rumah mana-mana penduduk di kawasan ini," katanya.

Khemah didirikan pihak berkuasa di sekitar lokasi nahas di Kampung Tok Muda, Kapar.
Khemah didirikan pihak berkuasa di sekitar lokasi nahas di Kampung Tok Muda, Kapar.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Selasa mengesahkan kejadian melibatkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC.

Pesawat ringan tersebut membawa dua penumpang termasuk juruterbang, namun keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini.

Usaha mencari juruterbang dan penumpang pesawat masih giat dijalankan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa agensi berkaitan.

Helikopter milik JBPM berlegar-legar di ruang udara dipercayai menjalankan pencarian mangsa dan serpihan pesawat di lokasi kejadian.
Helikopter milik JBPM berlegar-legar di ruang udara dipercayai menjalankan pencarian mangsa dan serpihan pesawat di lokasi kejadian.

Beberapa individu dipercayai ahli keluarga mangsa turut dilihat tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.23 petang sambil diiringi anggota polis bertugas dan dibawa ke khemah disediakan pihak berkuasa berdekatan lokasi nahas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan juga hadir di lokasi kejadian kira-kira jam 5.45 petang bagi meninjau operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi nahas turut mendapati sebuah helikopter milik JBPM berlegar-legar di ruang udara di sini dipercayai menjalankan pencarian mangsa dan serpihan pesawat di lokasi kejadian.