MAINJ peruntuk RM15 juta baiki, bina baharu rumah asnaf

Mohd Fared. Foto fail Bernama
Mohd Fared. Foto fail Bernama
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan RM15 juta untuk membaik pulih dan membina baharu rumah asnaf tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, sebanyak RM7 juta akan digunakan untuk kerja membaiki kerosakan rumah akibat bencana seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya.

"Sejumlah RM8 juta lagi adalah untuk membina rumah baharu bagi golongan asnaf yang tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh pihak MAINJ.

"Melalui peruntukan itu, setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dapat membantu membaiki rumah asnaf yang rosak akibat bencana hingga RM18,000 bagi setiap rumah," katanya kepada pemberita selepas Program Kecoh Sekawan Desa di Kompleks Penghulu Mukim 2 Bagan di sini pada Selasa.

Beliau dalam pada itu berkata, bagi pembinaan rumah baharu, setiap kawasan DUN akan dapat membina sebuah rumah asnaf dengan nilai maksimum RM80,000 bagi setiap rumah.

Mohd Fared berkata, menerusi peruntukan itu, dijangkakan 444 rumah di semua 56 kawasan DUN di Johor akan mampu dibaik pulih, manakala pembinaan baharu ialah kira-kira 87 rumah.

"Permohonan bagi kedua-duanya akan dilakukan melalui pejabat daerah masing-masing sebelum dimajukan ke pihak MAINJ bagi kerja-kerja penilaian.

"Kerajaan negeri berharap peruntukan berkenaan dapat membantu golongan asnaf untuk memiliki kediaman yang lebih baik dan selesa,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: