Gaduh dengan rakan sekerja, warga Myanmar maut ditikam lapan kali

Mangsa ditemukan dalam lubang tempat pembuangan sampah sawit.
Mangsa ditemukan dalam lubang tempat pembuangan sampah sawit.
A
A
A

BALING - Seorang pekerja ladang tembikai ditemukan maut disyaki dibunuh dalam pergaduhan dengan rakan sekerjanya di Binjul, Kuala Ketil pada Ahad.

Mangsa berusia 36 tahun yang merupakan warga Myanmar ditemukan dengan tujuh kesan tikaman di bahagian hadapan dada dan satu kesan tikaman di bahagian rusuk kiri beranggaran satu hingga empat sentimeter.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, polis menerima makluman daripada pengurus ladang memaklumkan terdapat dua pekerja lelaki bergaduh.

"Pergaduhan berlaku di ladang tembikai di tepi Jalan BKE sebelum lampu isyarat Batu 7, Binjul membabitkan dua pekerja. Salah seorang daripada mereka maut dan seorang lagi yang cedera telah melarikan diri.

Polis menjalankan siasatan di lokasi pembunuhan membabitkan pekerja ladang warga Myanmar.
Polis menjalankan siasatan di lokasi pembunuhan membabitkan pekerja ladang warga Myanmar.

"Pemeriksaan mendapati mangsa ditemui terbaring di dalam lubang tempat pembuangan sampah sawit di ladang tersebut. Semasa ditemui mangsa memakai baju berwarna putih dan seluar pendek berwarna merah," katanya.

Menurut Shamsudin, pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat dua khemah didirikan bagi tujuan penginapan 12 pekerja di ladang tembikai tersebut.

Jelasnya, kawasan lubang tempat mangsa ditemui mati berjarak kira-kira 500 meter dari khemah penginapan mereka.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, pada malam kejadian, salah seorang pekerja telah memberi mesej pesanan suara melalui aplikasi WhatsApp kepada pengadu yang juga pengurus ladang memaklumkan terdapat pergaduhan di kawasan ladang tersebut.

Semasa itu, pengadu tidak mendengar pesanan suara tersebut dan hanya mendengar mesej itu jam 7 pagi.

Pengadu kemudian menghubungi penyelianya dan dimaklumkan terdapat seorang pekerja telah mati dan kesemua pekerja di ladang tersebut melarikan diri.

Shamsudin berkata, pengurus ladang tembikai itu sering berulang alik ke dari Pokok Sena ke ladang berkenaan.

"Pihak forensik telah mengambil 19 ekshibit di tempat kejadian.

"Pengesanan kawasan tempat kejadian bersama seekor anjing dalam radius 500 meter dari tempat mangsa ditemui telah menjumpai lima pakaian yang disyaki ada kesan percikan darah yang telah direndam di dalam baldi di belakang khemah penginapan.

"Keterangan awal dari Inspektor Kesihatan Baling, mangsa dianggarkan telah mati kurang daripada 24 jam," katanya.

Mangsa ditemukan dengan lapan kesan tikaman di dada dan rusuk kiri.
Mangsa ditemukan dengan lapan kesan tikaman di dada dan rusuk kiri.

Beliau berkata, pasukan petugas telah diarahkan untuk mengesan dan menangkap suspek terlibat.

Dalam masa sama katanya, pemeriksaan turut dilakukan di kawasan sekitar Tawar dan klinik-klinik kesihatan untuk mengesan suspek dan pekerja yang lain.

"Pengurus ladang telah ditangkap bersangkut dengan kes ini dan menggaji pekerja asing tanpa permit mengikut Akta Imigresen," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.