Azalina lancar e-buku 'Sulu Fraud vs Malaysia's Truth'

Azalina (dua dari kiri) pada majlis pelancaran buku elektronik (e-buku) 'Sulu Fraud vs. Malaysia's Truth' di Brussels, Belgium. - Foto Facebook Azalina Othman Said
Azalina (dua dari kiri) pada majlis pelancaran buku elektronik (e-buku) 'Sulu Fraud vs. Malaysia's Truth' di Brussels, Belgium. - Foto Facebook Azalina Othman Said
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said melancarkan buku elektronik (e-buku) 'Sulu Fraud vs. Malaysia's Truth' pada Ahad untuk memperingati pencapaian dan kejayaan Kerajaan Malaysia setakat ini dalam menangkis tuntutan palsu Kumpulan Sulu.

Beliau berkata, buku itu adalah bagi memberikan gambaran sepintas lalu mengenai penyalahgunaan dan ketidakadilan yang menjejaskan semua rakyat Malaysia, latar belakang sejarah kes ini, penglibatan (pembiaya litigasi) Therium dan kejayaan penting yang dicapai Malaysia dalam mahkamah Eropah.

Azalina yang baru-baru ini melakukan lawatan kerja ke Brussels, Belgium berkata, garis masa kes ini juga dimasukkan ke dalam buku itu untuk memetakan kronologi peristiwa dan prosiding perundangan dari sejarah 1878 (penandatanganan sewa oleh penjelajah British) hingga ke masa kini.

“Berkenaan perincian dalam e-buku itu, penipuan Kumpulan Sulu telah membangkitkan kebimbangan antaranya kepentingan mendukung etika, integriti, profesionalisme dan amalan baik dalam kalangan penimbang tara antarabangsa, sebagai batu asas kepada timbang tara yang sah.

“Kami melancarkan e-buku ini hari ini di Brussels yang merupakan ibu pejabat kepada Kesatuan Eropah dan akan diedarkan kepada semua duta di Malaysia dan duta besar Malaysia di seluruh dunia,” kata Azalina dalam ucapannya.

Beliau menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk bersatu dalam menangkis tuntutan Kumpulan Sulu dan membina asas kefahaman dalam perjuangan perundangan ini sama ada menerusi laman sesawang kes Malaysia-Sulu atau e-buku ini.

Sementara itu, beliau berkata, sabitan jenayah terhadap penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa yang sedang dalam proses rayuan, tidak pernah berlaku sebelum ini dan merupakan satu perkembangan positif.

Beliau berkata, Malaysia mengambil maklum kepentingan keputusan mahkamah di Sepanyol dan yakin ia akan menjadi pencegah berkesan kepada tindakan keji oleh pelaku di belakang Penipuan Kumpulan Sulu.

Artikel Berkaitan:

Azalina berkata, keputusan penting ini juga menunjukkan komitmen komuniti perundangan untuk mendukung kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata, sementara keputusan itu merupakan satu peringatan yang tepat pada masanya kepada golongan penimbang tara, ia juga mendedahkan keadaan yang tidak pernah diterokai terutamanya kawalan terhadap etika profesionalisme penimbang tara.

Beliau berkata, Kerajaan Malaysia juga menggesa untuk satu kajian semula dan pembaharuan segera global untuk menambah baik industri litigasi pihak ketiga berikutan pengalaman negara dalam kes Tuntutan Kumpulan Sulu yang berprofil tinggi.

Sementara itu, kenyataan berasingan daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri berkata, Azalina dalam lawatan kerja itu telah bertemu dengan delegasi dari seluruh Kesatuan Eropah (EU) yang bertanggungjawab dalam hal ehwal perundangan bagi tujuan berkongsi pengetahuan dan meningkatkan kefahaman bersama mengenai sistem perundangan masing-masing.

Ia berkata, libat urus itu membincangkan perkara mengenai hal ehwal perundangan EU dan memupuk kepekaan terhadap pertikaian undang-undang US$14.92 bilion yang berterusan antara Malaysia dengan mereka yang mendakwa diri mereka sebagai pewaris kepada Sultan Sulu (Tuntutan Kumpulan Sulu) dalam empat negara anggota EU, termasuk sabitan terkini terhadap Stampa di Sepanyol. - Bernama