Prabowo yakin menang besar

Calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (kiri), Ganjar Pranowo (tengah) dan Anies Baswedan (kanan). - AFPA
Calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto (kiri), Ganjar Pranowo (tengah) dan Anies Baswedan (kanan). - AFPA
A
A
A

CALON Presiden Indonesia (Capres), Prabowo Subianto yang kini mendahului tinjauan pendapat berkata, beliau yakin akan memenangi pilihan raya pada minggu depan dalam satu pusingan bagi menerajui negara demokrasi ketiga terbesar di dunia, lapor Al-Jazeera.

Prabowo yang juga bekas komander pasukan khas adalah salah seorang daripada tiga calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Indonesia (Pilpres) 2024 pada Rabu ini.

Untuk itu, setiap calon memerlukan majoriti mudah atau lebih 50 peratus undi dan sekurang-kurangnya 20 peratus undi di lebih separuh wilayah untuk memenangi pilihan raya.

Jika tidak, maka pusingan kedua antara calon kedua teratas akan diadakan pada bulan Jun.

Prabowo, 72, diunjurkan beberapa tinjauan pendapat mencapai undian sebanyak 50 peratus.

Pesaingnya adalah bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dan bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, yang masing-masing ketinggalan lebih 20 mata di belakangnya.

“Semua angka itu menunjukkan bahawa kami akan pergi dalam satu pusingan,” kata Prabowo memberitahu Al-Jazeera selepas mengadakan perhimpunan yang menarik ratusan ribu penyokong di Jakarta pada Sabtu iaitu hari terakhir kempen.

Beliau akan berpasangan dengan anak lelaki Presiden Joko Widodo atau Jokowi, Gibran Rakabumi Raka yang berusia 36 tahun.

Artikel Berkaitan:

“Di Indonesia ia menjadi satu isu, bukan kerana beliau (Gibran) berumur bawah 40 tahun, tetapi anak kepada Presiden Jokowi yang menyebabkan ramai tidak berpuas hati.

“Tapi, itulah permainan politik. Anda tidak boleh menyenangkan semua orang,” katanya.

Jokowi berdepan tuduhan campur tangan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya dengan membuat penampilan bersama Prabowo.

Jokowi menegaskan, seorang presiden mempunyai hak menyokong calonnya dan beliau tidak merancang berkempen untuk calon lain dalam Pilpres. - Agensi