Johor kekalkan harga tiket zoo paling murah di Malaysia

Kerajaan negeri akan mengekalkan harga tiket kemasukan ke Zoo Johor dengan harga termurah di Malaysia apabila taman haiwan itu dibuka semula kepada orang ramai April ini.
Kerajaan negeri akan mengekalkan harga tiket kemasukan ke Zoo Johor dengan harga termurah di Malaysia apabila taman haiwan itu dibuka semula kepada orang ramai April ini.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri akan mengekalkan harga tiket kemasukan ke Zoo Johor dengan harga termurah di Malaysia apabila taman haiwan itu dibuka semula kepada orang ramai April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, pelbagai kemudahan dan infrastruktur sedang dinaik taraf melibatkan kos kira-kira RM7 juta bagi memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Sebelum ini harga tiket bagi kanak-kanak adalah RM1 dan dewasa pula RM2. Harga baharu akan diumumkan nanti. Tetapi kita di peringkat kerajaan masih mengekalkan harga tiket masuk paling termurah di Malaysia dan peringkat asia, cuma untuk warga asing akan ada kenaikan harga sedikit.

"Pertambahan haiwan mungkin ada tetapi tidak banyak kerana masih lagi dalam perbincangan. Cuma zoo baharu ini akan nampak lebih selesa, bersih dan tersusun," katanya kepada pemberita selepas mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan SWM Environment Sdn Bhd untuk disalurkan kepada 750 keluarga B40 di Johor.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin di Bangunan Dato' Abdul Rahman Andak, Kota Iskandar di sini pada Isnin.

Zoo Johor yang terletak di pusat bandar raya Johor Bahru, mula dibuka pada 1928 dan merupakan zoo tertua negara dengan keluasan 12.5 hektar serta mempunyai lebih 100 spesies haiwan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Jafni berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa untuk melaksanakan kaedah pengezonan khususnya melibatkan premis perniagaan berbentuk hiburan termasuk spa dan karaoke sekali gus memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.

"Beberapa tahun lepas di Kulai, kita berdepan satu masalah apabila premis spa beroperasi di kawasan berhampiran perumahan dan kampung-kampung, jadi banyak aduan diterima daripada penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Bagi melakukan penambahbaikan, kita laksana kaedah zoning dengan mengumpulkan premis-premis sedemikian untuk beroperasi di kawasan tertentu. Maksudnya premis spa dan karaoke tidak beroperasi secara bersepah di kawasan perumahan, kampung-kampung atau berhampiran sekolah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya telah menggesa kesemua 16 PBT di seluruh Johor untuk memperkasa operasi melibatkan premis perniagaan yang dikendalikan warga asing.

"PBT di Johor tidak pernah mengeluarkan lesen membenarkan warga asing untuk berniaga di negeri ini, malah jika ada warga tempatan yang menggunakan nama mereka untuk membenarkan warga asing berniaga, tindakan batal lesen boleh diambil.

"Perkara ini perlu dilakukan untuk membela peniaga-peniaga kecil tempatan daripada terus mengalami kekurangan perniagaan kerana terpaksa bersaing dengan warga asing yang kebiasaannya menjual pada harga lebih murah," katanya. - Bernama