Henti 'blame game' isu tunggakan gaji KDA FC

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta menghentikan perbuatan menyalahkan pihak lain berhubung isu tunggakan gaji pemain pasukan bola sepak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dihentikan segera.

Menurut beliau, isu melibatkan gaji itu perlu diselesaikan meskipun KFA merupakan satu entiti, manakala KDA FC pula satu entiti lain.

"Tak payah 'blame game'... tuding orang itu (ataupun) orang ini.

"Jadi, bertanggungjawablah. Siapa-siapa yang ada di situ, sebagai ketua (maka) ambillah tanggungjawab. Jikalau, dia ketua kerajaan dia ambil tanggungjawab," katanya ketika diminta mengulas isu tunggakan gaji KDA FC.

Mahdzir berkata sedemikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menziarahi keluarga Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah, 72, di Alor Semadom, di Alor Setar, petang Ahad.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri perlu memberi perhatian memandangkan isu terbabit melibatkan kebajikan pemain.

"Pemain pun masing-masing ada keluarga. Tak boleh kita kata, awak salah sebab awak tak bagi gaji. Orang itu pula kata awak salah sebab awak, kami tak dapat duit," katanya.

Sementara itu, bekas Pengurus KFA, Datuk Othman Aziz berpandangan, kemelut dialami pasukan bola sepak ketika ini tidak boleh diserahkan kepada KDA FC semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Setiap negeri ada persatuan bola sepak macam Kedah ada Persatuan Bola Sepak Kedah. KFA masih ada tetapi KDA FC ditubuhkan untuk menyesuaikan dengan keadaan liga ketika ini," katanya.

Sehubungan itu, Othman berkata, KFA mempunyai tanggungawab untuk membantu kejayaan pasukan Kedah, sekali gus tidak boleh lepas tangan kepada KDA FC.

"Sebab itu, saya kata awal tadi rencah untuk kemenangan (dan) rahsia kejayaan adalah KFA memberi sokongan padat dan padu," katanya.

Bagi bekas Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris, kerajaan negeri perlu berusaha sebaik mungkin untuk membantu mengangkat semula bola sepak di Kedah.

Kata Asmirul Anuar, pihak berkenaan boleh menggunakan mana-mana platform yang ada untuk mencari tajaan bagi membantu KDA FC.

"(Sekiranya) Kita tak boleh membantu banyak, (maka) kita sekurang-kurangnya membantu sedikit kepada KDA FC ini," katanya.

Sebelum ini, tular perkongsian video di media sosial mendakwa pemain KDA FC ‘mengemis’ untuk mendapatkan hak mereka selepas beberapa bulan mengalami tunggakan pembayaran gaji.

Pengurusan KDA FC mengakui pasukannya mengalami masalah tersebut membabitkan skuad utama Liga Super serta pasukan bawahan kelab itu dan sedang berusaha menangani isu tersebut.