Kamera pengintip di bilik air inap desa: Polis cari lelaki bantu siasatan

Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita berhubung penemuan kamera kecil tersembunyi di dalam bilik air sebuah inap desa di Jelutong, di sini seperti yang tular di media sosial sejak Jumaat.
Polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita berhubung penemuan kamera kecil tersembunyi di dalam bilik air sebuah inap desa di Jelutong, di sini seperti yang tular di media sosial sejak Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan seorang wanita diintip menerusi kamera tersembunyi di dalam bilik air ketika menginap di sebuah inap desa di Jelutong, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, berdasarkan siasatan, polis mendapati lelaki tempatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini polis merekodkan keterangan empat individu termasuk pengadu dan pengurus rumah inap desa terbabit bagi membantu siasatan kes.

"Berdasarkan siasatan dan keterangan yang direkod setakat ini, polis sedang mengesan seorang lelaki dan dia dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian kamera tersembunyi dalam bilik air tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN:Wanita jumpa kamera pengintip dalam bilik air inap desa

"Pemeriksaan pihak polis mendapati pautan yang terdapat di kamera itu menghubungkan dengan telefon bimbit lelaki berkenaan dan sebab itu kita kesan dia untuk membantu siasatan kes," katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Razlam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Pada Sabtu, polis mengesahkan menerima laporan daripada wanita tempatan berusia 24 tahun mendakwa diintip menerusi kamera yang disembunyikan di dalam bekas pewangi di bilik air, ketika sedang bercuti pada 5 hingga 6 Februari lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!