Pelumba basikal Kelantan menang tempat kedua jelajah Kemboja

No Image Caption
A
A
A

KEJAYAAN pelumba berbasikal Kelantan menempatkan diri di podium pada Kejohanan Cambodia Bay Cycling Tour membuktikan pelumba dari negeri itu mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Kelantan, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, pelumba persatuan itu, Nik Mohd Azuan Zulkifli meraih tempat kedua pada perlumbaan tiga hari itu sejauh 157 kilometer yang berakhir semalam.

"Kejayaan beliau menaikkan nama pasukan berbasikal Kelantan yang pertama kali berlumba di peringkat antarabangsa.

"Ia turut membuktikan persatuan kami mampu melahirkan pelumba yang berkualiti walaupun berdepan dengan pelbagai masalah terutama infrastruktur bagi pelumba menjalani latihan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ekoran masalah kewangan, pihak kami hanya mampu menghantar enam pelumba iaitu tiga pelumba tempatan dan tiga pelumba import pada kejohanan itu.

“Pelumba tempatan ialah Nik Mohd Azuan Zulkifli, Ahmad Haidar Anuwar dan Wan Mohd Ali Wan Zulkifli manakala tiga pelumba import ialah Kenny Nijssen dari Netherland, Arri Pramata dan Hari Fitrianto dari Indonesia.

"Kejayaan ini menyemarakkan lagi semangat para pelumba yang akan mewakili Kelantan pada kejohanan peringkat antarabangsa pada masa depan," katanya.

Katanya, kejayaan itu turut memberikan motivasi kepada pelumba Kelantan bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Johor, Julai depan.

Artikel Berkaitan:

"Kami berharap kejayaan ini turut membuka mata banyak pihak untuk bersama terlibat dalam membangunkan sukan berbasikal di Kelantan," katanya. - Bernama