Jumpa depan-depan, tak mahu sembang dalam TikTok - Akmal Saleh

Dr Muhamad Akmal Saleh. Foto Bernama
Dr Muhamad Akmal Saleh. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh sedia bertemu empat mata dengan seorang pengguna TikTok yang mengkritik beliau susulan gesaan berkaitan tambahan peruntukan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan persendirian sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, pertemuan secara bersemuka lebih 'gentleman' berbanding membalas kenyataan melalui media sosial.

"Saya nak jumpa lelaki ini depan-depan, tak mahu sembang dalam TikTok acah-acah pakai rantai.

"Saya tak gentar jadi saya tunggu, kalau tak berani nak datang bagi sahaja lokasi di mana," katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok pada Sabtu.

Dr Muhamad Akmal memberitahu bahawa beliau menyedari mengenai video berdurasi 2 minit 18 saat itu selepas namanya ditag pada ruangan komen video bertajuk Akmal Saleh pejuang Melayu palsu.

Menerusi video tersebut, individu terlibat mendakwa Dr Muhamad Akmal hanya 'menumpang' isu terlibat, dalam masa sama mempersoalkan kehadiran pemimpin sayap UMNO itu dalam Himpunan Selamatkan Syariah pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilapor mengumumkan kerajaan menyalurkan peruntukan sejumlah RM18.9 juta kepada 63 sekolah persendirian Cina untuk tahun 2024.

Sebagai rekod pada tahun lepas, peruntukan khas itu sebanyak RM15.75 juta dengan sekolah masing-masing menerima RM250,000.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, pada Rabu, Dr Muhamad Akmal mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbangkan tambahan peruntukan kepada sekolah agama.

Beliau berkata, perkara tersebut perlu atas prinsip keadilan dan kesamarataan kepada semua jenis sekolah di negara ini.