PH-BN: 'Apabila sudah berkawan, tak patut saling mengungkit' - Budiman

Budiman
Budiman
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Apabila sudah berkawan, tidak sepatutnya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) saling mengungkit kelemahan dan kekurangan satu sama lain.

Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Budiman Mohd Zohdi berkata, gabungan itu merupakan musuh politik sebelum ini, pasti sudah sedia maklum akan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Beliau sebaliknya berkata, tumpuan kini adalah bagi mencari titik persamaan dan mengatasi perbezaan pandangan dengan politik matang.

"Sekarang dalam situasi bertenang dan terkejut. Gabungan ini merupakan senario baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini contohnya, buat pertama kali wakil rakyat BN dilantik sebagai Exco Negeri Selangor.

"Dahulu PH sebagai musuh politik UMNO, kini sebagai satu gabungan dan perkara ini masih di peringkat penyesuaian," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan perkembangan politik semasa dalam negara khususnya di Selangor selepas PH-BN membentuk Kerajaan Perpaduan.

Budiman yang juga bekas ADUN Sungai Panjang berpandangan, cabaran paling besar yang perlu dihadapi kini ialah mendepani fasa politik perdamaian.

"Apabila sudah menjadi kawan tidak boleh saling ungkit-mengungkit, kita tahu kelebihan dan kekurangan rakan kongsi jadi kena terima keadaan seadanya.

Artikel Berkaitan:

"Sama seperti ketika mahu mencari pasangan, kita sudah tahu kelebihan dan kekurangan, pada saya tidak sepatutnya sibuk mencari salah tetapi kena terima kekurangan itu," katanya.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan perkembangan semasa, bekas Ahli Parlimen Sungai Besar itu berkata, pihaknya masih aktif dalam khidmat masyarakat walaupun tidak lagi berstatus wakil rakyat.

Katanya, khidmat kepada rakyat tidak terhad sewaktu menjadi wakil rakyat semata-mata sebaliknya dilakukan secara berterusan mengikut kemahiran dan kelebihan yang ada.

"Sejak dua tahun lepas saya tubuhkan inisiatif EMAK (Egah Membangun Aspirasi Komuniti). Segala aktiviti saya kongsikan di Facebook seperti pendidikan generasi cerdik politik, program latihan di UMNO Bahagian selain mencipta peluang pekerjaan.

"Saya nak tunjukkan walaupun kita bukan wakil rakyat tetapi kita masih boleh menyumbang dan berkhidmat kepada masyarakat. Ini asasnya," katanya.

Beliau berharap rakan politik di luar sana juga mempunyai pemikiran sama bahawa politik bukan satu-satunya cara memberi khidmat kepada rakyat.

"Soal mahu kembali sebagai wakil rakyat, itu bukan kuasa saya. Kalau orang tak pilih, macam mana nak jadi YB (yang berhormat)?

"Jika tanya kesediaan menggalas tanggungjawab sebagai YB, semua terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat penilaian," katanya.