Nooa Laine sertai Selangor FC

Nooa Hamzah Laine - Foto Selangor FC
Nooa Hamzah Laine - Foto Selangor FC
A
A
A

SELANGOR FC berjaya mendapatkan pemain warisan Finland-Malaysia, Nooa Hamzah Laine secara pinjaman selama setahun untuk saingan Liga musim ini.

Perkara itu diumumkan Selangor yang menjelaskan Gergasi Merah mempunyai pilihan untuk membeli Noaa Laine dari kelab SJK Seinajoki selepas tempoh pinjaman tamat.

Menurut pemain berusia 22 tahun itu, dia telah lama dihubungi oleh Selangor untuk mendapatkan khidmatnya selain yakin pasukan itu akan membantunya meraih kejayaan.

“Selangor FC telah lama menghubungi saya untuk menjelaskan peranan dan kepentingan khidmat saya buat pasukan. Sejak dari itu, saya juga telah banyak mendengar perkara-perkara positif berkenaan budaya dan hala tuju kelab dari rakan-rakan sepasukan skuad kebangsaan Malaysia.

"Sejujurnya, saya gembira dengan keputusan untuk bersama mereka kerana saya yakin Selangor FC akan menjadi kelab yang membantu saya mencapai kejayaan bersama," katanya.

Sebelum ini, Nooa Laine juga telah menyarung jersi kebangsaan dan beraksi bersama pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara membantu Harimau Muda ke Piala Asia B-23 di Qatar April nanti.

Dia juga turut melakukan penampilan pertama bersama skuad senior kebangsaan semasa perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Turkmenistan pada 23 Mac tahun lalu.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!