Tiada penyelesaian di Parlimen - Peguam

Haniff Khatri
Haniff Khatri
A
A
A

PUTRAJAYA - Ahli Parlimen sepatutnya memainkan peranan mereka bagi menyelesaikan pertikaian antara peruntukan undang-undang sivil dan syariah.

Tegas peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, para peguam menerusi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) telah menghantar satu petisyen yang mengandungi syor pindaan sejak tahun 2021.

"Malangnya sampai hari ini, Parlimen sama ada di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak nampak penyelesaian," katanya ketika ditemui pemberita di Istana Kehakiman pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan yang perlu dilakukan kerajaan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 daripada 18 peruntukan di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 tidak sah dan terbatal.

Mohamed Haniff bagaimanapun bersyukur terhadap keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mengarahkan satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi membuat kajian mendalam dan kritikal mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam di bawah enakmen negeri serta bidang kuasa mahkamah syariah.

"Kami harap perkara ini dapat diselesaikan segera supaya kuasa gubalan negeri-negeri apabila disahkan tidak akan menghadapi masalah untuk dicabar di mahkamah," katanya.

Zainul Rijal
Zainul Rijal

Senada dengan Mohamed Haniff, peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mendesak Kerajaan Persekutuan mewujudkan 16 kesalahan yang diisytiharkan tidak sah agar tidak lagi timbul isu undang-undang.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kerajaan juga perlu melihat kembali perkara yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memperjelaskan supaya kita tahu di mana garis panduan dan berbezaan antara kuasa DUN dan Persekutuan dengan jelas," katanya.

Yusfarizal
Yusfarizal

Sementara itu, peguam pemerhati bagi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Yusfarizal Yussoff berkata, dengan keputusan mahkamah itu, mana-mana individu yang melakukan kesalahan di jenayah syariah yang diisytiharkan tidak sah itu tidak boleh diambil tindakan.

"Selepas ini tiada lagi tindakan, siasatan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan kerana ia telah diisytiharkan tidak sah serta terbatal," katanya.