Pecut laju motosikal kerana takut ditahan JPJ

Motosikal jenis Yamaha Y15ZR disita JPJ semasa operasi di sekitar ibu negara pada Khamis.
Motosikal jenis Yamaha Y15ZR disita JPJ semasa operasi di sekitar ibu negara pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal yang tidak mempunyai lesen memandu bertindak memecut laju kira-kira 1 kilometer (km) ketika hendak ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu hanya sia-sia selepas berjaya ditahan di Jalan Semarak pada jam 4.46 petang.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Erick Jusiang berkata, penunggang itu dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh Unit Penguatkuasaan Motosikal JPJ Kuala Lumpur di Jalan Tun Razak berhampiran Istana Budaya.

"Ketika hendak ditahan, penunggang itu telah memecut laju motosikalnya hingga ke Jalan Semarak sebelum berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu tidak memiliki lesen memandu selain cukai jalan tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Motosikal jenis Yamaha Y15ZR disita JPJ semasa operasi di sekitar ibu negara pada Khamis.
Motosikal jenis Yamaha Y15ZR disita JPJ semasa operasi di sekitar ibu negara pada Khamis.

Tambahnya, anggota operasi turut mengesan motosikal terbabit menggunakan nombor pendaftaran kenderaan lain serta kesalahan ubahsuai.

Eric berkata, ketika ditanya sebab tindakan melarikan diri, penunggang terbabit mendakwa takut ditahan JPJ.

Artikel Berkaitan:

"Motosikal jenis Yamaha Y15ZR itu kemudian disita untuk tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.

Tegasnya, JPJ mengingatkan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan menyeru serta mengalu-alukan semua orang awam untuk melaporkan aduan berkaitan salah laku di jalan raya secara terus melalui aplikasi MyJPJ, e-aduan@jpj atau emel ke aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan.