Juara 'double treble' jasa terbesar Azraai Khor

Jenazah Mohd Azraai Khor diusung keluar dari bilik mayat sebuah hospital swasta pada Khamis.
Jenazah Mohd Azraai Khor diusung keluar dari bilik mayat sebuah hospital swasta pada Khamis.
A
A
A

JASA Allahyarham Mohd Azraai Khor Abdullah membawa pasukan Kedah muncul juara ‘double treble’ pada 2007 dan 2008 antara memori paling indah yang tidak akan dilupakan oleh seluruh rakyat Kedah khususnya peminat bola sepak.

Bekas pemain skuad Hijau Kuning, Muhammad Radhi Mat Din berkata, Allahyarham yang pernah mewakili Kedah dan negara itu merupakan seorang legenda bola sepak yang cukup disenangi dan dikenali sebagai seorang yang tidak lokek berkongsi idea serta pendapat melibatkan sukan itu.

"Saya pernah bermain di bawah Allahyarham pada tahun 1992 dan 1993, selepas itu pada tahun 2003 saya pernah menjadi pembantu kepadanya... Kejayaan Allahyarham yang paling besar apabila dia berjaya membawa Kedah menjadi juara ‘double treble’.

"Sepanjang penglibatan dengan Allahyarham, sama ada hubungan sebagai jurulatih ataupun sahabat, dia seorang yang sangat hebat, jasanya sangat besar kepada sukan bola sepak negara terutamanya di Kedah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Jenazah Mohd Azraai Khor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda pada Khamis. Foto Bernama
Jenazah Mohd Azraai Khor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda pada Khamis. Foto Bernama

Muhammad Radhi yang kini merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri berkata, arena bola sepak kehilangan sebutir permata yang cukup berharga dan beliau sendiri sangat terasa dengan pemergian Allahyarham.

"Saya ada berhubung dengan arwah bulan lepas dan kami bersembang mengenai beberapa perkara termasuk bola sepak... Apabila mengetahui tentang pemergiannya, saya memang sangat terkejut kerana Allahyarham tidak sakit dan tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Sementara itu, Amirul Nizam Mahadzir yang pernah bermain dengan skuad Kedah dari 2000 hingga 2007 berkata, Allahyarham sangat mudah didekati, prihatin dan tidak kedekut untuk memberi tunjuk ajar sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Artikel Berkaitan:

"Saya pernah bermain di bawah bimbingan Allahyarham, selain itu turut pernah berkhidmat menjadi penolong pengurus semasa arwah menjadi ketua jurulatih bagi Piala Presiden pada 2019. Sepanjang mengenali arwah dia seorang yang sangat baik.

"Kali terakhir saya bercakap dengan Allahyarham melalui panggilan telefon pada Jumaat lalu, kami berbincang mengenai perancangan pembangunan bola sepak Kedah. Walaupun telah lama bersara dari dunia bola sepak, minat dan cinta arwah terhadap bola sepak memang sentiasa ada,” katanya.

Jenayah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 6.25 petang di Tanah Perkuburan Taman Uda, di sini, dengan dihadiri lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan-rakan dan peminat bola sepak Kedah.

Mohd Azraai Khor merupakan bekas pemain Kedah era 1970-an dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan dari 1975 hingga 1978. - Bernama