Nestlé Malaysia santuni 2,600 murid mulakan sesi baharu persekolahan

Sukarelawan Nestlé Cares mengagihkan pek barangan kelengkapan sekolah di Sekolah Kebangsaan Seneng, Bachok, Kelantan. 
Sukarelawan Nestlé Cares mengagihkan pek barangan kelengkapan sekolah di Sekolah Kebangsaan Seneng, Bachok, Kelantan. 
A
A
A

SHAH ALAM - Nestlé Malaysia memperuntukkan bantuan berjumlah RM800,000 menerusi inisiatif ‘Kembali Ke Sekolah Nestlé Cares’ sekali gus memanfaatkan 2,600 murid sekolah rendah kurang berkemampuan di seluruh negara memulakan sesi persekolahan baharu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nestlé Malaysia memaklumkan inisiatif bantuan tahunan itu melibatkan pek barangan kelengkapan sekolah seperti beg, pakaian seragam, kasut, sarung kaki dan alat tulis.

Inisiatif tersebut dilaksanakan bertujuan membantu murid yang terlibat membuat persediaan sebelum memulakan sesi persekolahan 2024 manakala seramai 50 sukarelawan Nestlé Cares dan Empire Project turut serta menjayakan usaha itu di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) Nestlé Malaysia.

“Inisiatif ini memanfaatkan anak yatim, anak ibu bapa tunggal dan banduan, kanak-kanak berkeperluan khas dan beberapa masyarakat Orang Asli serta pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, sebanyak 1,500 isi rumah juga menerima beg hadiah Nestlé yang mengandungi produk berkhasiat seperti Nestlé Everyday, Nestum, Milo Activ-Go dan lain-lain.

“Meluaskan inisiatif ke Malaysia Timur, sebanyak 10 sekolah di Sabah dan Sarawak juga menerima peralatan sukan yang boleh dimanfaatkan oleh 500 murid sekali gus menggalakkan penyertaan mereka dalam aktiviti fizikal dan sukan,” jelas kenyataan itu.

Beberapa murid menerima manfaat menerusi inisiatif tahunan ‘Kembali Ke Sekolah Nestlé Cares’ anjuran Nestlé Malaysia.
Beberapa murid menerima manfaat menerusi inisiatif tahunan ‘Kembali Ke Sekolah Nestlé Cares’ anjuran Nestlé Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Nestlé Malaysia turut bekerjasama dengan Jabatan Penjara Pusat Kota Kinabalu untuk membekalkan beg sekolah bersama produk makanan dan minuman kepada hampir 200 anak-anak banduan dan komuniti B40 sekitar di Sabah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, Nestlé Malaysia mempunyai tanggungjawab sosial untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

“Inisiatif ‘Kembali Ke Sekolah Nestlé Cares’ sejajar dengan matlamat kami untuk membuka peluang kepada belia, Dalam tempoh lebih sedekad lalu, hampir 10,000 pelajar Malaysia telah menerima bantuan menerusi program ini.

“Pada tahun ini, kami berbesar hati untuk meluaskan capaian kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara dan membawa kesan positif kepada lebih ramai kanak-kanak pada masa depan,” kata Aranols.

Selain program tersebut, Nestlé Malaysia bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) membantu serta meringankan beban mangsa banjir dengan membekalkan keperluan asas, baru-baru ini.

Malah, Nestlé Malaysia turut menyediakan program sokongan melibatkan komuniti peladang dan usahawan tempatan, menyediakan pendidikan pemakanan untuk masyarakat setempat di samping menerajui program kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan masyarakat.

Tahun lalu sahaja, Nestlé Malaysia menyumbang RM13 juta melalui pelaksanaan untuk inisiatif sokongan kemasyarakatan.