TNB juara Piala Sumbangsih

Pemain TNB meraikan kejayaan merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan THT pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Pemain TNB meraikan kejayaan merangkul Piala Sumbangsih selepas menewaskan THT pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
A
A
A

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menebus kekecewaan dua tahun berturut-turut apabila menewaskan juara bertahan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 3-1 menerusi penentuan penalti bagi merangkul trofi Piala Sumbangsih dalam permulaan musim Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 pada Rabu.

Pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, TNB menyekat misi THT untuk gelaran hatrik apabila kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa penuh 60 minit perlawanan sebelum diheret ke penentuan penalti.

THT menewaskan TNB dua kali dalam aksi Piala Sumbangsih, masing-masing menang 3-2 pada edisi 2022 dan 4-3, tahun lalu.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi seimbang pada awal perlawanan untuk memburu jaringan, namun TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi pukulan sudut penalti yang dihasilkan Jang Jong-hyun pada minit ketiga.

TNB di bawah kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin kemudian menggandakan kedudukan pada minit ke-24 apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak jaringan padang namun THT marapatkan jurang menerusi ledakan jaringan padang yang dicipta Mohd Fitri Saari pada minit sama.

THT di bawah jagaan Mohd Harfizi Baharom kemudian menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti strok yang dihasilkan Mohd Fitri pada minit ke-49 dan keputusan kekal 2-2 seterusnya mengheret kepada penentuan penalti.

Keputusan pada aksi pembuka tirai itu memberikan kedua-dua pasukan satu mata untuk misi memburu gelaran liga musim ini.

Sementara itu, Nor Saiful Zaini berkata meskipun mampu menyekat misi THT dalam pemburuan hatrik kejuaraan mereka, beliau tidak berpuas hati kerana hanya memperoleh satu mata untuk memulakan saingan liga musim ini.

Artikel Berkaitan:

"Permulaan yang baik, tapi saya sangat tidak berpuas hati dengan permainan kerana kita memiliki banyak peluang yang kita sia-siakan, percubaan pukulan sudut penalti tidak banyak menghasilkan jaringan...kita sepatutnya perlu menang.

"Dalam perebutan juara liga kita hanya ada tiga pasukan, jadi dengan hanya satu mata akan sukar untuk kita juara," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Pada aksi Piala Sumbangsih MHL Wanita menyaksikan juara bertahan Negeri Sembilan gagal mempertahankan kemenangan apabila ditundukkan Malaysian University 3-0 menerusi penentuan penalti.

Malaysian University sebelum itu berjaya mengikat Negeri Sembilan 2-2 dalam 90 minit perlawanan.

Keputusan juga menyaksikan kedua-dua pasukan meraih satu mata pertama untuk memulakankempen liga musim ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!