Hendak belanja nasi lemak pun kena kecam

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan ini bukanlah hendak membuka aib sesiapa, tetapi rasanya perlu berkongsi kejadian yang berlaku melibatkan seorang lelaki separuh usia dengan wanita ranggi.

Baru-baru ini, Merak Jalanan sempat singgah di warung nasi lemak tepi jalan yang setiap pagi memang ramai pelanggannya.

Semua yang beratur itu boleh dikatakan sebagai pelanggan tetap di gerai tersebut.

Merak Jalanan yang teringin mencuba rasa enak atau tidak nasi lemak di gerai itu, turut serta dalam barisan Q tersebut.

Hendak dijadikan cerita, ada seorang seorang perempuan dikategorikan sebagai wanita ranggi lagi bergaya memesan tiga bungkus nasi lemak.

Kemudian dengan nada bersemangat dia maklumkan kepada tauke gerai itu supaya dikirakan sekali nasi lemak pelanggan di belakangnya iaitu seorang lelaki yang nampaknya berusia daripada Merak Jalanan.

Namun, lain pula jadinya apabila pakcik itu terus menjawab kepada tauke gerai bahawa dia tidak sudi menerima 'belanja' daripada si wanita ranggi tersebut.

Lebih memeranjatkan, apabila ayat yang keluar dari mulut pakcik itu sungguh kasar.

Artikel Berkaitan:

Katanya; "Saya tak mahu awak belanja saya, entah-entah itu duit haram."

Kesian pula Merak Jalanan melihat reaksi kaku wanita ranggi itu.

Akan tetapi kakunya si wanita ranggi itu tidak lama apabila mendapat talian hayat daripada tauke gerai tersebut.

Katanya; "Eh tak mengapa dik, saya belanja awak dengan encik di belakang itu sekali yer. Terima kasih sebab awak ada niat yang baik."

Terdengar pula perbualan para pekerja gerai itu mengenai ada juga manusia menolak rezeki.

Mereka juga mempersoalkan sikap seseorang yang suka menilai luaran berbanding cantiknya dalaman individu.

Tiba sahaja giliran Merak Jalanan memesan nasi lemak, mulut ini ringan pula bercakap hendak belanja orang di belakang.

Ku sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Kali ini, tauke itu pula terkebil-kebil matanya dan berkata kepada Merak Jalanan; "Awak hendak belanja siapa? Mana ada orang di belakang awak!"