'Sudah tiba masanya KHM pilih jurulatih luar' - Pekan Ramli

Jurulatih Eropah termasuk dari Belanda, Sepanyol mahupun Argentina dan Australia boleh dipertimbangkan KHM untuk mengembalikan reputasi hoki negara di pentas antarabangsa. Foto FB MHC (Gambar kecil: Dr Pekan)
Jurulatih Eropah termasuk dari Belanda, Sepanyol mahupun Argentina dan Australia boleh dipertimbangkan KHM untuk mengembalikan reputasi hoki negara di pentas antarabangsa. Foto FB MHC (Gambar kecil: Dr Pekan)
A
A
A

JURULATIH asing dilihat sebagai pilihan alternatif bagi membimbing skuad hoki lelaki negara setelah kontrak Arul Selvaraj berakhir selepas Speedy Tigers gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, peluang tersebut wajar diberikan kerana beliau tidak nampak calon sesuai dalam kalangan jurulatih tempatan.

Justeru, beliau berasakan jurulatih Eropah termasuk dari Belanda, Sepanyol mahupun Argentina dan Australia mungkin boleh dipertimbangkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk mengembalikan reputasi hoki negara di pentas antarabangsa.

“Saya tidak nampak jurulatih tempatan yang sesuai untuk membimbing Speedy Tigers.

“Mungkin sudah tiba masanya KHM kembali melantik jurulatih dari luar negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

KHM pada Selasa membuka permohonan kekosongan jawatan ketua jurulatih yang diiklankan menerusi laman web rasmi dan calon yang berminat mempunyai masa tujuh hari untuk menghantar permohonan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk Majid Manjit Abdullah berkata, ketua jurulatih baharu akan mengetuai kedua-dua pasukan senior dan remaja untuk kelayakan Olimpik berikutnya.Pekan turut menjelaskan mengenai kesukaran skuad hoki negara untuk bersaing dengan pasukan dari Eropah dan situasi tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Kita sudah cuba pelbagai cara, namun seperti ada yang tidak kena. Sukar untuk pemain bersaing dengan pasukan Eropah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, menurutnya, skuad hoki kerap bergantung kepada pemain sama dalam tempoh 10 tahun lalu tanpa muka baharu seperti sukar mengambil alih tempat mereka yang sudah lama dalam pasukan.

“Pemain lama seperti ada pengaruh dalam pasukan. Andai ada pemain baharu pun, mereka tidak mampu bertahan lama dalam skuad,” katanya.Justeru, Pekan berharap program pembangunan hoki remaja dan peringkat umur diperkukuhkan agar Malaysia memiliki rantaian serta kelompok pemain yang besar untuk diketengahkan ke peringkat nasional.

“Malaysia perlukan ramai pemain pelapis. Program pembangunan perlu kukuh dan mantap agar negara tidak ketandusan bakat-bakat baharu,” katanya.