RM554,000 kompaun kesalahan merokok dikeluarkan KKM

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 2,312 notis kesalahan membabitkan nilai kompaun berjumlah RM554,400 dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada perokok yang melanggar larangan merokok di tempat makan dalam tempoh lima hari penguatkuasaan bermula 1 Januari lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu melibatkan pemeriksaan di 29,903 premis makanan di seluruh negara.

“Daripada 2,312 notis kesalahan itu, 1,702 notis telah dikeluarkan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 iaitu kesalahan merokok di tempat makan.

“Manakala 400 notis kesalahan di bawah Peraturan 12 (1) (a) iaitu tuan punya premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan 92 notis kesalahan di bawah Peraturan 12(1)(b) iaitu tuan punya premis menyediakan kemudahan merokok,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga telah mengeluarkan sebanyak 118 notis kesalahan di bawah Peraturan 13(1) iaitu larangan mengenai merokok dan sebagainya kepada orang belum dewasa (di bawah umur 18 tahun).

Beliau berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan itu, jumlah notis kesalahan yang telah dikeluarkan oleh pegawai penguat kuasa telah berkurang daripada 708 notis kesalahan pada hari pertama kepada 393 notis kesalahan pada hari kedua dan seterusnya turun kepada 366 notis kesalahan pada hari ketiga.

“Bagaimanapun, jumlah itu meningkat pada Sabtu dan Ahad lepas iaitu masing-masing sebanyak 404 dan 441 notis kesalahan.

“KKM masih menerima aduan kesalahan merokok yang melibatkan 1,039 tempat makan melalui talian hotline 010-860 8949 sejak penguatkuasaan penuh dijalankan dan kesemua aduan yang diterima dalam tindakan pegawai penguat kuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, KKM menegaskan bahawa larangan merokok bukan bertujuan menghukum perokok tetapi dilaksanakan bagi mengelakkan komplikasi akibat tabiat merokok kepada perokok serta perokok pasif iaitu mereka yang berada di sekeliling.

“KKM akan sentiasa membantu perokok untuk berhenti merokok. Pendaftaran untuk perkhidmatan berhenti merokok mQuit boleh dibuat melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau hubungi talian 03-88834400,” katanya. - Bernama