Dibelasah gara-gara tegur penunggang motosikal tak beri signal

Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa dipukul suspek dalam kejadian berdekatan sebuah klinik di Putra Perdana, Selasa lalu.
Tangkap layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan mangsa dipukul suspek dalam kejadian berdekatan sebuah klinik di Putra Perdana, Selasa lalu.
A
A
A

SEPANG - Gara-gara menegur tindakan seorang penunggang motosikal yang tidak memberi signal, seorang warga emas cedera dipukul dalam kejadian berdekatan sebuah klinik di Putra Perdana, Selasa lalu.

Tindakan suspek yang merupakan seorang peniaga itu membawa padah apabila dia diberkas menerusi operasi dijalankan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusoff berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat oleh mangsa yang berumur 73 tahun.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa memandu dari Brickfield, Kuala Lumpur menuju ke Putra Perdana untuk bertemu dengan rakannya.

"Mangsa dipukul seorang lelaki tanpa sebab selepas didakwa mengeluarkan kata-kata kesat dipercayai kerana suspek tidak memberikan signal.

"Suspek bertindak memukul mangsa pada bahagian muka, kepala serta rusuk sebelum mangsa kemudiannya meneruskan perjalanan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, suspek yang masih tidak berpuas hati kemudiannya bertindak mengekori kenderaan mangsa.

"Suspek kemudian menyekat kenderaan mangsa sebelum menarik keluar mangsa daripada kenderaan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kemudian menumbuk mata mangsa serta menendang mangsa bertubi-tubi sebelum meninggalkan mangsa yang dalam kesakitan di lokasi kejadian," katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dibawa ke Hospital Serdang untuk rawatan.

"Hasil pemeriksaan doktor mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala, mata selain patah tulang pipi kiri dan bawah mata tulang mata sebelah kiri.

"Siasatan lanjut dijalankan membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian," katanya.

Tambahnya, suspek diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sepang.

"Semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Selasa, tular beberapa gambar di media sosial memaparkan seorang warga emas menjadi mangsa buli serta dipukul oleh samseng jalan raya.