Tak sempat brek, penunggang motosikal cedera langgar kontena

Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas terlanggar kontena yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan Paya Keladi, Pinang Tunggal di sini pada Jumaat.
Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas terlanggar kontena yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan Paya Keladi, Pinang Tunggal di sini pada Jumaat.
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas terlanggar kontena yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan Paya Keladi, Pinang Tunggal di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, penunggang motosikal berusia 54 tahun itu mengalami luka kecil di beberapa bahagian badan dan tidak serius.

Menurutnya, dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa yang juga seorang lelaki sedang mengekori sebuah treler membawa muatan kontena dari arah Bertam Indah ke Kuala Ketil, Kedah.

"Kedua-dua kenderaan itu dari arah yang sama dan ketika melalui terowong di Jalan Paya Keladi, bahagian atas kontena telah terlanggar bahagian atas terowong menyebabkan kontena terjatuh di atas jalan.

"Pada masa yang sama sebuah motosikal yang mengekori dari arah belakang treler itu tidak sempat memberhentikan motosikalnya lalu terlanggar kontena tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Asri berkata, pemandu treler yang berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.

"Pemandu treler dan penunggang motosikal mempunyai lesen memandu selain kedua-dua kenderaan itu mempunyai lesen kenderaan bermotor yang masih sah.

"Ujian saringan air kencing mendapati, pemandu treler positif dadah. Kita akan mendapatkan perintah reman ke atasnya untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kes kemalangan jalan raya tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mohd Ridzwan Zolkifli di talian 017-4900246," katanya.

Artikel Berkaitan: