'Ada tidak puas hati, tapi tidak timbul gesaan keluar Kerajaan Perpaduan'

Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tidak wujud gesaan untuk UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan walaupun bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak diberi pengampunan penuh.

Menyedari ada sebilangan ketua bahagian yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, ia tidak mendorong desakan tersebut disuarakan.

"Sebab itu kita adakan pertemuan (khas) untuk menjelaskan keputusan tersebut adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, namun ia tidak akan menghentikan usaha kita.

"Ruang itu masih ada sepertimana Perdana Menteri sebut, masih ada ruang untuk merayu kepada Agong yang baharu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sembang Santai Bersama Media yang dianjurkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di sini pada Selasa.

Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan, segelintir ketua UMNO bahagian tidak berpuas hati dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal membantu parti dalam kes Najib.

Perkara itu disuarakan ketika perjumpaan tertutup khas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama ketua-ketua UMNO bahagian pada Ahad lalu.

Terdahulu Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya ke-61 memutuskan hukuman penjara terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu diberi pengurangan 50 peratus dan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta

Dalam pada itu Asyraf Wajdi sekali lagi menegaskan, UMNO akan terus mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan.

Artikel Berkaitan:

"Takkan tiba-tiba dalam hal ini kita mengkhianatinya atau mempertikaikan (keputusan Agong).

"Tidak satu pun saya terima (gesaan UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan) secara bertulis, WhatsApp atau secara terbuka. Saya yang mempengurusikan perjumpaan (khas) tersebut, jadi tidak timbul.

"Tidak ada seorang pun yang mempertikaikan atau menuntut untuk keluar (Kerajaan Perpaduan), pelik juga kenapa nak keluar sebab ini bukan kuasa mana-mana parti, nak marah siapa," ujarnya.