Kerajaan lulus peruntukan RM2.81 bilion untuk Kelantan - Nik Nazmi

NIK NAZMI
NIK NAZMI
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah RM2.81 bilion di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi negeri Kelantan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, jumlah itu meliputi pelaksaan 92 projek baharu yang diluluskan pada tahun ini.

Menurut beliau, peruntukan itu juga adalah peningkatan RM0.24 bilion berbanding peruntukan asal yang diluluskan tahun lepas.

“Pada tahun 2023, kerajaan memperuntukan sejumlah RM2.57 bilion untuk pelaksanaan 454 projek bawah peruntukan pembangunan RP3 bagi negeri Kelantan.

“Tahun ini, peningkatan peruntukan sebanyak RM0.24 bilion dengan jumlah keseluruhan sebanyak 425 projek dilaksanakan di negeri ini,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Lama Dr Hafizah Mustakim sempena Majlis Makan Malam Media Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan ICU JPM, di sini pada Isnin.

Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) mencatat jumlah peruntukan pembangunan terbesar pada tahun ini iaitu RM0.8 bilion
melibatkan 32 projek.

Katanya, jumlah keseluruhan kos pembinaan tersebut adalah sebanyak RM4.79 bilion.

“Projek-projek utama di bawah KKR termasuklah enam pakej pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (KBKK) dan sembilan pakej Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Artikel Berkaitan:


“Kesemua 14 daripada 15 pakej tersebut kini dalam pelaksanaan manakala satu pakej di masih peringkat perolehan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan juga meluluskan fasa baharu Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) membabitkan kos RM1.06 bilion bagi Fasa 2 Sungai Kelantan dan RM0.5 bilion bagi Fasa 3 Sungai Golok.

“Secara terkumpul, sebanyak 13 projek berkaitan banjir diluluskan di Kelantan dengan kos keseluruhan RM3.83 bilion pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

“Saya berharap semua pihak khususnya agensi pelaksana dapat memastikan projek-projek berjalan lancar dan mengelak sebarang masalah yang boleh menyebabkan kelewatan selain saya sendiri akan memastikan keseluruhan projek pembangunan di negeri ini dilaksanakan seperti dirancang,” katanya.