Ketua KPU langgar kod etika terima pencalonan Gibran

Hasyim telah diberi amaran tegas akibat tindakannya. Foto Agensi
Hasyim telah diberi amaran tegas akibat tindakannya. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Dewan Kehormatan Penyelenggara Pemilu (DKPP) memberi amaran keras terakhir kepada Ketua Komisi Pemilihan Umum (KPU), Hasyim Asy'ari kerana didakwa melanggar kod etika berkaitan pendaftaran Gibran Rakabuming Raka sebagai calon wakil presiden (cawapres).

Keputusan itu disampaikan Ketua DKPP, Heddy Lugito di Jakarta pada Isnin setelah menerima aduan daripada tiga individu.

Hasyim didakwa memproses pendaftaran anak Presiden Joko Widodo atau Jokowi itu tanpa mengubah syarat usia minimum ditetapkan untuk calon presiden (capres) dan cawapres di bawah peraturan sedia ada.

KPU dikatakan telah menerima dokumen pendaftaran Gibran sebagai calon pada 25 Oktober lalu sedangkan Peraturan KPU (PKPU) Nombor 19 Tahun 2023 yang ketika itu belum disemak mendapati Wali Kota Surakarta itu tidak menepati syarat kerana belum mencapai usia 40 tahun.

“KPU memberi alasan Putusan MK Nomor 90/PUU-XXI/2023 yang mengubah syarat umur capres-cawapres sudah memadai untuk dijadikan asas memproses pencalonan Gibran yang pada masa itu berusia 36 tahun,” lapor Kompas.

Syarat tersebut dilaporkan telah diubah oleh KPU selepas menyemak semula PKPU Nombor 19 Tahun 2023, namun semakan itu hanya ditandatangani pada 3 November lalu. - Agensi

Artikel Berkaitan: