JKM cari ibu kandung, waris remaja OKU

Muhammad Mikail
Muhammad Mikail
A
A
A

KUALA LANGAT - Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Langat mencari ibu kandung dan waris kepada seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) bagi perbincangan mengenai urusan penjagaan dan penempatan.

Pelindung Kanak-Kanak, Salinah Pitungut berkata, pada masa ini remaja itu, Muhammad Mikail Abdullah, 14, diletakkan di Taman Sinar Harapan Jitra, Kedah sejak 30 Disember 2020.

Bagaimanapun katanya, perintah itu telah tamat pada 29 Disember tahun lalu dan kini remaja OKU fizikal itu dalam perintah jagaan sementara di bawah Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 selama sebulan di institusi sama.

"Berdasarkan maklumat diperoleh, ibu kandung Muhammad Mikail berasal dari Kampung Sungai Ara, Pulau Pinang.

"Ibu kandung remaja ini merupakan anak sulung daripada empat beradik dan tidak mempunyai tempat tinggal tetap," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sehingga kini, katanya, ibu kandung Muhammad Mikail tidak pernah hadir berjumpa Pelindung Kanak-Kanak untuk melawat dan menyatakan hasrat menemui anaknya.

"Maklumat terkini mengenai tempat tinggal ibu kandung juga tidak diperoleh dan tidak dapat dihubungi," tambahnya.

Orang ramai atau waris yang mempunyai maklumat berkaitan ibu dan waris remaja itu diminta menghubungi Salinah di talian 03-3187 1317.

Artikel Berkaitan: