Bertuah skuad badminton remaja jika Misbun jaga mereka: Chong Wei

Lee Chong Wei. - FOTO AFP
Lee Chong Wei. - FOTO AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jika benar skuad badminton remaja negara akan dikendalikan Datuk Misbun Sidek, maka mereka boleh dikatakan antara pemain yang bertuah.

Itu pendapat legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei apabila diminta mengulas mengenai desas-desus bahawa Misbun akan mengetuai struktur kejurulatihan skuad remaja negara sebagai pengarah teknikal.

"Misbun macam ayah saya, saya tidak kisah dia berada di mana. Saya pasti akan sentiasa menyokongnya. Beliau adalah jurulatih dan pemain legenda, saya yakin Misbun akan lahirkan ramai pemain yang baik untuk negara.

"Sebelum ini pun beliau sudah lahirkan beberapa pemain yang bagus, jadi jika beliau melatih skuad remaja, tidak mustahil dia akan bawa lebih ramai pemain berpotensi.

"Bertuah siapa yang dapat tunjuk ajar daripada Misbun. Beliau boleh jadi contoh yang baik kepada pemain remaja juga," katanya kepada media selepas majlis pengumuman penajaan kepada pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia daripada 100Plus.

Chong Wei, yang mengumumkan persaraan pada tahun lepas percaya Misbun yang kini merupakan ketua jurulatih pemain lelaki senior mampu menggalas tanggungjawab dengan baik jika benar beliau akan dilantik untuk menjaga skuad remaja.

Semalam, laporan media menyatakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menafikan bahawa Misbun memiliki kualiti yang diperlukan bagi mengetuai struktur kejurulatihan skuad remaja negara sebagai pengarah teknikal.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, belum ada keputusan muktamad mengenai siapa yang bakal mengisi jawatan itu selepas BAM dijangka melakukan rombakan dalam struktur kejurulatihan skuad kebangsaan dengan tumpuan terarah kepada peralihan jawatan membabitkan Misbun.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Chong Wei turut memberikan kata-kata semangat agar ketujuh-tujuh pemain negara yang digugurkan daripada BAM, tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan mereka dalam arena badminton.

"Saya tidak mempunyai komen jika melibatkan pengurusan BAM. Pengguguran itu adalah keputusan BAM. Saya hanya boleh cakap, siapa yang digugurkan mereka masih kena terus berusaha dan jangan pernah putus asa. Mereka masih wakil negara jika terlibat dalam mana-mana kejohanan luar negara walaupun bukan di bawah naungan BAM," katanya.

Jumaat lalu, BAM mengumumkan pengguguran pasangan beregu senior lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, tiga pemain perseorangan lelaki Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Muhammad Ziyad Md Taha dan pasangan beregu wanita Lim Peiy Yee-Lim Chiew Sien untuk penubuhan skuad baharu, Projek 24.

Projek 24, yang dilancarkan September lalu, menyasarkan untuk memastikan skuad negara mara ke final Piala Thomas 2024 dan memenangi sebutir pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.- Bernama