Dari kuih baulu ke piza

Zulhilmi melayani pelanggan yang singgah di premisnya di Kampung Paya Datu, di Kuala Terengganu.
Zulhilmi melayani pelanggan yang singgah di premisnya di Kampung Paya Datu, di Kuala Terengganu.
A
A
A

PENGUATKUASAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac 2020 merupakan titik tolak yang mengubah cara perniagaan seorang pengusaha kuih baulu apabila mula beralih kepada perniagaan makanan terkenal dari Itali iaitu pizza.

Mengakui berdepan persaingan yang hebat dalam perniagaan itu, Zulhilmi Yatim, 35 bersama isterinya, Umi Nasiha Mat Yusuf, 34 tidak lagi menoleh ke belakang kerana sama-sama menyimpan hasrat untuk menghasilkan piza jenama sendiri.

Menurut Zulhilmi, dia dan isteri mengusahakan perniagaan cenderahati baulu selama hampir empat tahun sebelum membuka premis jualan piza yang diberi jenama Pizza Medira di Kampung Paya Datu, Manir di sini bermula pada 2021.

Zulhilmi dan isteri, Umi Nasiha menunjukkan antara hidangan istimewa yang terdapat di Pizza Medira.
Zulhilmi dan isteri, Umi Nasiha menunjukkan antara hidangan istimewa yang terdapat di Pizza Medira.

"Kami mengusahakan perniagaan cenderahati baulu pada 2017 di Kemasik, Kemaman dan dari situ kami mula mendalami selok-belok perniagaan.

"Kebanyakan tempahan diterima ketika itu untuk diagihkan kepada tetamu pada majlis-majlis dan musim perayaan. Selain kuih tradisional baulu, kami juga turut menghasilkan roti. Waktu itu kami juga telah berjinak-jinak dalam penghasilan piza.

"Perniagaan juga sudah stabil dan dikenali ramai dengan purata pendapatan antara RM20,000 hingga RM40,000 sebulan. Namun, selepas penguatkuasaan PKP, ia memberi kesan kepada perniagaan kami yang mana tempahan diterima mula berkurangan,"katanya.

Zulhilmi memberitahu, terkesan dengan situasi itu, dia dan isteri mengambil keputusan untuk menutup perniagaan di Kemasik dan pulang ke kampung di Paya Datu, Manir, di sini yang terletak kira-kira 13 kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Ketika perasaan berbolak-balik itu, ibu saya menasihati saya supaya membuka sahaja perniagaan di kampung. Waktu tu saya berbelah bahagi namun saya yakin rezeki ada di mana-mana. Lagipun di Kemaman agak sukar untuk mendapatkan bekalan bahan asas untuk piza.

"Pada mulanya saya agak tidak yakin dengan lokasi perniagaan di kampung. Walaupun lokasinya bukan di kawasan yang jauh di pedalaman, namun kedudukannya agak jauh dari bandar.

"Masa awal-awal niaga dulu saya pernah terfikir untuk berpindah ke lokasi lain namun membatalkan sahaja hasrat itu kerana jualan setiap hari mencapai target (sasaran) dengan purata jualan ketika ini mencecah 100 keping setiap hari," katanya.

Bermula dengan hanya mengusahakan perniagaan berdua dengan isterinya di lokasi yang diberikan jolokan 'piza dalam kampung' Zulhilmi kini mampu mengupah seramai 10 pekerja.

Jelas Zulhilmi, dia mementingkan kualiti dan rasa produk yang dihasilkan supaya dapat memikat hati pelanggan untuk datang semula ke situ.

"Saya percaya, jika pelanggan berpuas hati dengan produk yang dihasilkan, duduk di mana pun mereka pasti akan cari kita. Paling jauh kami terima pelanggan dari Kemaman dan Dungun," katanya.

Pizza kambing bakar antara menu istimewa yang terdapat di Pizza Medira.
Pizza kambing bakar antara menu istimewa yang terdapat di Pizza Medira.

Menurut Zulhilmi, doh piza dihasilkan menggunakan resipi adunan sendiri selain terdapat topping menu istimewa iaitu ayam bakar, kambing bakar dan daging salai.

"Roti piza kami hasilkan sendiri termasuk sos dan adunan bahan yang akan digunakan sebagai 'topping'. Bagi menghasilkan piza yang lain daripada yang lain, kami akan lakukan beberapa kali percubaan untuk memastikan ia menepati selera pelanggan.

"Kita ada 19 jenis pilihan piza dengan saiz 'regular' (lapan inci). Selain piza, pelanggan juga boleh memilih menu lain antaranya masakan ala barat seperti spageti, chicken chop dan lain-lain lagi.

"Buat masa ini kami ada membuat perkhidmatan penghantaran dengan radius jarak sejauh tujuh kilometer dengan pembelian minimum RM25," katanya yang kini dalam proses permohonan untuk mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Katanya, harga produk berkenaan bermula RM17 hingga RM27 dan RM30 hingga RM40 bagi menu kambing bakar, bergantung kepada jenis piza.

Pizza Medira beroperasi setiap hari kecuali Selasa bermula jam 3 petang hingga 11 malam.

Produk jenama itu menggunakan medium pengiklanan menerusi Facebook, Instagram dan TikTok.

Zulhilmi yang merupakan usahawan di bawah program Agropreneur Muda Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) berkata, sambutan terhadap produk jualannya melonjak selepas kempen boikot terhadap barangan Israel diperluaskan sejak peperangan tercetus di Palestin pada 7 Oktober tahun lalu.

Pizza korean spicy chicken antara menu istimewa yang turut terdapat di Pizza Medira.
Pizza korean spicy chicken antara menu istimewa yang turut terdapat di Pizza Medira.

"Kami sebenarnya tak sangka dapat sambutan luar biasa yang mana jumlah jualan setiap hari meningkat berbanding tempoh sebelum itu.

"Pada pandangan saya, gelombang boikot ini juga secara automatik telah mengangkat produk-produk tempatan dan merupakan perkembangan positif kepada golongan peniaga," ujarnya.

Berkongsi perancangan jangka masa panjang, Zulhilmi memberitahu dia berhasrat untuk membuka cawangan di tempat lain.

"Jika ada rezeki saya merancang untuk buka cawangan di lokasi yang berdekatan dengan bandar namun persaingan yang tidak begitu sengit.

"Kita juga mengambil kira beberapa faktor sebelum membuka cawangan lain memandangkan ekonomi kini tidak begitu stabil," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!