Angka korban kebakaran hutan di Chile meningkat 51 orang

Pemandangan udara kebakaran hutan yang menjejaskan bukit bandar Vina del Mar di sektor Las Pataguas, Chile. Foto AFP
Pemandangan udara kebakaran hutan yang menjejaskan bukit bandar Vina del Mar di sektor Las Pataguas, Chile. Foto AFP
A
A
A

ANKARA - Jumlah korban akibat kebakaran hutan yang melanda bahagian tengah dan selatan Chile kini meningkat kepada 51 orang, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik media pada Ahad.

"Jumlah mangsa dijangka bertambah dalam beberapa jam akan datang," kata Presiden Chile, Gabriel Boric dalam satu kenyataan.

Boric berkata, Kementerian Pertahanan akan mengerahkan lebih banyak unit tentera ke kawasan terjejas dan menggunakan semua sumber yang ada.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Carolina Toha berkata, kira-kira 92 kebakaran berlaku di pelbagai tempat dan sehingga kini sudah menjejaskan kira-kira 43,000 hektar kawasan.

"Anggota bomba telah berjaya mengawal 40 kebakaran dan masih bertungkus lumus memadamkan 29 lagi kebakaran," katanya.

Menurut pihak berkuasa, di Valparaiso sahaja kira-kira 1,100 kediaman dilaporkan musnah.

Berikutan itu, Presiden Boric telah mengisytiharkan darurat dan mengarahkan semua anggota penyelamat dihantar ke kawasan yang terjejas bagi membantu usaha memadam kebakaran. - Bernama

Artikel Berkaitan: