Kapal tangki bersauh tanpa kebenaran ditahan

Kapal tangki yang ditahan APMM kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 26 batu nautika barat Muka Head semalam.
Kapal tangki yang ditahan APMM kerana bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 26 batu nautika barat Muka Head semalam.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas didapati bersauh tanpa kebenaran semalam.

Kapal dengan nama pendaftaran Ocean Gull ditahan kira-kira jam 12 tengah hari di kedudukan 26 batu nautika barat Muka Head.

Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, kapal tangki berukuran 116.65 meter panjang itu didaftarkan di Singapura.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan mendapati kapal itu dikendalikan 20 kru termasuk seorang nakhoda (master) dengan empat daripada mereka warga Bangladesh, lapan warga China, tujuh warga Myanmar dan seorang warga Indonesia.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

"Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hamizan berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di sekitar perairan Pulau Pinang serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perairan negara.

Artikel Berkaitan: