Tapir betina mati dilanggar kenderaan berat

Seekor tapir betina ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat dalam kejadian di Batu 20 Jalan Kota Tinggi-Mersing hari ini.
FOTO: Bernama
Seekor tapir betina ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat dalam kejadian di Batu 20 Jalan Kota Tinggi-Mersing hari ini. FOTO: Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bangkai seekor tapir Malaya betina ditemukan di Batu 20, Jalan Kota Tinggi-Mersing, awal pagi tadi dipercayai akibat dilanggar kenderaan berat.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, haiwan berusia di antara 5 hingga 6 tahun dan seberat 200 kilogram itu ditemukan orang awam di tepi jalan berkenaan sebelum dimaklumkan kepada pihak Perhilitan pagi tadi.

“Terdapat kecederaan dan kesan luka akibat seretan atau dilanggar oleh kenderaan di bahagian badan. Namun kenderaan yang disyaki melanggar tapir tiada di lokasi kejadian semasa siasatan dijalankan.

“Pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian juga mendapati tiada kesan terbabas kenderaan, justeru haiwan itu dipercayai dilanggar kenderaan berat,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Salman berkata, berdasarkan kesan laluan di kawasan semak-samun berhampiran, pihaknya percaya tapir tersebut datang dari Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Sedeli dan cuba untuk melintasi jalan raya berkenaan untuk menuju ke arah Ladang Risda Ulu Sedeli yang terletak berhampiran sebelum dilanggar.

Katanya, setakat jam 3.30 petang tadi, beliau dimaklumkan bahawa polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu.

Namun, pihak Perhilitan telah mengambil dan merekodkan data morfologi asas dan menanam bangkai haiwan tersebut dengan di lokasi kejadian.

Tapir Malaya (Tapirus indicus) merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 176) dan dikategorikan sebagai terancam di bawah Senarai Merah Spesies Terancam, Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN). - Bernama

Artikel Berkaitan: