Episod K-Drama Korea Selatan berlanjutan di Piala Asia

Heung-min mucul wira Korea Selatan selepas meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma di penghujung babak pertama masa tambahan.Foto AFP
Heung-min mucul wira Korea Selatan selepas meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma di penghujung babak pertama masa tambahan.Foto AFP
A
A
A

SEPAKAN percuma kapten, Son Heung-min pada penghujung babak pertama masa tambahan sudah cukup untuk menghantar Korea Selatan ke separuh akhir Piala Asia.

Pertembungan suku akhir di Stadium Al Janoub awal pagi Sabtu itu menyaksikan Korea Selatan menang tipis 2-1 ke atas Australia.

Bagaimanapun, Australia terlebih dahulu mengejutkan pasukan gergasi Asia itu dengan gol pembukaan Craig Godwin pada minit ke-42.

Ketika perlawanan menuju ke wisel penamat, Korea Selatan memadam kelebihan Australia selepas penyerang Wolves, Hwang Hee-chan tenang menyempurnakan penalti m-96 setelah Heung-min dijatuhkan dalam kotak D.

Gol penyamaan itu memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan dan hasilnya Heung-min menemui sentuhan pemusnah m-104 menerusi sepakan percuma melencong yang gagal diselamatkan penjaga gawang, Mathew Ryan.

Keputusan 2-1 itu sekali gus menyalakan impian skuad Taegeuk Warriors untuk menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir dimenangi 64 tahun lalu.

"Jelas sekali, ia adalah satu lagi drama. Kami sangat gembira dan teruja untuk melaluinya.

"Ia adalah pertarungan yang sukar dengan Australia. Kami menjangkakannya. Apa pun, saya bangga dengan semangat pemain selepas mengharungi 120 minit perlawanan," kata Klinsmann.

Artikel Berkaitan:

Klinsmann sebelum ini dikecam teruk peminat Korea Selatan selepas anak buahnya diikat Malaysia 3-3 dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Rata-rata peminat meluahkan kekecewaan di media sosial dan menuntut pengendali dari Jerman itu dipecat dan digantikan dengan jurulatih lain.

Menanti Korea Selatan di separuh akhir adalah Jordan yang mengatasi Tajikistan 1-0.

Bagaimanapun, Korea Selatan terpaksa turun tanpa pertahanan kental Bayern Munich, Kim Min-jae yang menerima layangan kad kuning kedua dalam kejohanan sejurus sebelum gol penyamaan Hee-chan.