NACCOL buat persediaan perluas Jualan Termurah Madani sempena Ramadan

Syed Abu Hussin Hafiz (kanan) bersama Anwar dalam Program Jualan Ikan, Udang Dan Sotong Murah Parlimen Tambun 2024.
Syed Abu Hussin Hafiz (kanan) bersama Anwar dalam Program Jualan Ikan, Udang Dan Sotong Murah Parlimen Tambun 2024.
A
A
A

SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan membuat persediaan dari segi sumber dan logistik bagi memperluaskan Jualan Termurah Madani di beberapa kawasan sempena Ramadan ini.

Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengetuai jawatankuasa di bawah NACCOL itu berkata, ia susulan kejayaan acara Program Jualan Ikan, Udang Dan Sotong Murah Parlimen Tambun 2024 yang mendapat sambutan ramai sekaligus membuktikan rakyat menyambut baik hasrat tersebut.

Menurutnya, langkah itu merupakan salah satu fokus utama bagi menstabilkan harga makanan di negara ini.

“Seperti mana yang telah kita buat di (Jualan Termurah Madani) Tambun, jelas bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat sendiri bagaimana ramainya penduduk di sekitar Tambun beratur panjang untuk mendapatkan harga-harga barangan yang dijual dengan sangat murah.

“Sekurang-kurangnya kita akan buat sebulan sekali dan kita akan buat pada hujung minggu Sabtu dan Ahad, bermakna setiap bulan kita akan ambil empat minggu dan kita akan buat lapan tempat serentak, kalau ada satu kumpulan sahaja.

“Tetapi sekarang kita ada tiga atau empat kumpulan, maknanya serentak kita boleh buat setiap minggu di lapan lokasi berlainan dan kalau sebulan bermakna 32 kawasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin Hafiz yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata, melihat kepada keberkesanan program berkenaan, Anwar menggesa supaya pelaksanaan itu disegerakan bagi memastikan semua rakyat mendapat manfaat tersebut.

“Fokus kedua ialah untuk meneliti, memahami dan mencadangkan kepada kerajaan bagaimana untuk sediakan barang keperluan harian dengan stabil dan murah.

Artikel Berkaitan:

“Ini ada masalah kartel yang perlu diselesaikan. Jadi saya insyaALLAH dengan menerajui NACCOL ini, kluster makanan akan dapat juga punca kuasa untuk saya rentas jabatan dan kementerian untuk melihat segi kaedahnya bagaimana kita dapat mengatasi perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku dalam rantaian makanan yang menyebabkan harga barangan tidak boleh dikawal,” ujarnya.

Syed Abu Hussin Hafiz turut menganjurkan program Jualan Ikan Murah pada Jumaat melibatkan lima lokasi jualan di Perak termasuk Taman Kaya, Matang, Dewan Changkat Jering, Pekan Trong dan Padang Kampung Permatang Raja.