Cabaran pengganti Jokowi tingkat ekonomi digital

Poster calon presiden Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka (kiri) dipasang sepanjang jalan di Jakarta menjelang pilihan raya presiden (Pilpres) 2024 pada 14 Februari depan. - AFP
Poster calon presiden Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka (kiri) dipasang sepanjang jalan di Jakarta menjelang pilihan raya presiden (Pilpres) 2024 pada 14 Februari depan. - AFP
A
A
A

JAKARTA - [DIKEMAS KINI] Presiden Indonesia yang baharu selepas memenangi Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 akan berdepan cabaran untuk membangunkan ekonomi digital perusahaan mikro, kecil dan sederhana (UMKM) terutama melibatkan usahawan di kawasan pedalaman.

Penganalisis ekonomi yang juga pensyarah Pusat Keusahawanan Universiti Binus, Dr Apriani Kurnia Suci berkata, sektor itu perlu meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus daripada apa yang telah dilaksanakan Presiden Joko Widodo (Jokowi) ketika ini.

Menurutnya, meskipun ketiga-tiga calon Pilpres 2024 menyatakan mahu memajukan ekonomi digital UMKM, namun mereka belum mempunyai pendekatan jelas atau idea berbeza antara satu sama lain.

Dr Apriani Kurnia Suci
Dr Apriani Kurnia Suci

“Tetapi secara asasnya, ketiga-tiga mereka memutuskan untuk menjejaki Jokowi meneruskan agenda UMKM.

“Pada 2022 salah seorang menteri Jokowi (Menteri Koperasi) memberitahu Indonesia dalam Indeks Keusahawanan Global (GEDI) adalah terendah di ASEAN berbanding dengan Malaysia dan Thailand.

“Sedangkan Indonesia ada bonus iaitu penduduknya ramai dengan anak muda yang sepenuhnya digital.

“Ini menjadi cabaran kepada Presiden baharu,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu wawancara eksklusif di sini.

Artikel Berkaitan:

Pada 14 Februari ini, seramai 204 juta rakyat Indonesia akan keluar mengundi bagi memilih presiden baharu bagi menggantikan Jokowi yang bakal menamatkan tempoh maksimum pemerintahan selama 10 tahun.

Selain Presiden, rakyat negara itu juga memilih untuk Wakil Presiden, ahli Dewan Perwakilan Rakyat dan Daerah.

Persaingan Presiden dan Wakil Presiden melibatkan tiga pasukan iaitu Anies Rasyid Baswedan dan Dr Muhaimin Iskandar manakala Prabowo Subianto bersama Gibran Rakabuming Raka serta gandingan Ganjar Pranowo dan Dr Mahfud.

Tambah Apriani, ekonomi digital UMKM pernah melonjak ketika pandemik Covid-19 dan berdasarkan kaji selidik, ia kebanyakannya digerakkan oleh golongan suri rumah seperti pembuatan kuih, sulaman dan sebagainya.

Menurutnya, kegiatan ekonomi itu dijalankan secara bersama di pusat aktiviti di kampung masing-masing.

“Itulah sebenarnya sikap yang harus diteruskan. Kebetulan saya mempunyai program nasional membangunkan UMKM ke arah digital dengan kerjasama Kementerian Perindustrian.

“Tetapi tahun ini sudah tidak dijalankan lagi kerana UMKM digital seperti sudah selesai kerana rakyat di desa-desa katanya sudah pandai main sendiri TikTok.

“Sebab itu ada isu kenapa TikTok Shop ditutup di Indonesia. Saya sebenarnya kurang setuju kerana teknologi itu tidak boleh dibendung. Tetapi tindakan itu bukan satu kesilapan kerana kerajaan hanya mendengar keluhan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu Apriani menegaskan, ketiga-tiga calon Presiden Pilpres 2024 perlu menitikberatkan aspek pembangunan ekonomi digital.

Berhubung kaedah kempen pilihan raya, beliau memuji pendekatan calon Prabowo dan Gibran yang menggunakan pendekatan secara digital termasuk animasi.

“Kempennya memberi kesan dan saya rasa kalau mereka serius dengan pembangunan UMKM, saya fikir ke arah pemasaran digital boleh mendapat tempat.

“Sebab itu pasukan Prabowo naik indeksnya kerana anak-anak muda. Sedangkan dua lagi pasukan masih menggunakan cara tradisional.

“Pasukan satu (Anies dan Muhaimin) juga membawa agenda ekonomi ke arah syariah, tapi itu telah pun sedia ada berjalan sejak dahulu lagi dan persaingan terbesar ialah Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, Presiden baharu perlu menyelaraskan bantuan dan program memajukan ekonomi digital kerana ketika ini terdapat beberapa pertindihan antara kementerian serta agensi kerajaan.

Ujarnya, ketidakseragaman itu boleh menyebabkan pembaziran duit negara apabila masing-masing ‘berebut’ melakukan program sama dan tidak berfokus.

“Perlu ada regulasi yang jelas dan ditambah baik. Malah sekarang generasi muda tidak mahu bekerja dengan orang, tapi mahu jadi entrepreneur. Itu juga salah satu faktor penting.

“Maka yang pertama, ekosistem mesti diperbaiki kerana kita ada sumber membekal dan yang kedua ialah pertingkatkan pengetahuan teknologi.

“Ketiga infrastruktur termasuk kewangan dan sumber manusia.

“Saya harap pemerintah harus mengubah peraturan-peraturan dalaman dan karenah birokrasi,” katanya lagi.

Pada masa sama, beliau meluahkan kebimbangan terhadap pelaksanaan lima peratus cukai pendapatan tahunan ke atas hasil usahawan bermula Januari tahun ini yang akan menjejaskan UMKM.

Mengulas mengenai pembangunan ibu negara baharu Indonesia atau dikenali sebagai Ibu Kota Nusantara (IKN) di Kalimantan, Apriani berpandangan ia bakal melonjak ekonomi negara berkenaan.

Ujar beliau, secara asasnya pembukaan IKN sudah dimuktamadkan dan berjaya menarik ramai pelabur termasuk dari China.

“Melihat contoh program transmigrasi satu ketika dahulu, teruk sangat cuma diberi pemerintah ikan masin dan sardin. Setahun diberi pemerintah dan sesudah itu mereka berusaha sendiri.

“Akhirnya wilayah menjadi besar. Jika dahulu tiada program sebegitu, Sumatera dan Kalimantan tidak jadi seperti sekarang (ramai penduduk).

“Tiada kota besar seperti Lampung, Palembang, Jambi, Medan dan Aceh,” katanya.

Pengundi senyap jadi 'bom jangka'

Menurut Apriani, menjelang hari mengundi pada 14 Februari ini, kebanyakan pengundi terutama golongan muda dilihat lebih mengambil pendekatan berdiam diri.

Ujarnya, sikap sedemikian bakal menjadi ‘bom jangka’ apabila mereka masing-masing tidak cenderung menyatakan sokongan secara terbuka kepada mana-mana calon Presiden.

“Sentimen pengundi, ramai yang diam-diam. Bagi mereka apa yang akan terjadi, biarkan saja terjadi.

“Jadi nanti (hari mengundi), kita akan lihat seberapa besar peratusan orang yang memilih dan siapa yang dipilih.

“Sebenarnya bukan sahaja di Indonesia tetapi seluruh di dunia. Mungkin tahap kepercayaan kepada kerajaan itu mungkin sedikit menurun,” katanya.

Ujar beliau, perkembangan teknologi menyebabkan orang ramai merasakan mereka seperti mempunyai ‘kuasa luar biasa’.

Mengambil contoh sebagai pensyarah di universiti, Apriani mengakui berdepan cabaran akibat ledakan dunia ilmu di hujung jari.

“Saya mesti ada sesuatu yang baru, jika tidak semua pelajar akan ‘tidur’.

“Ini kerana mereka tidak perlu pergi ke kelas, boleh buka telefon bimbit, klik sana sini dan mereka lebih pakar daripada saya,” tambahnya.

Abai struktur semula industri tekstil

Apriani yang merupakan pereka fesyen dan usahawan beg tangan berkata, industri tekstil di negara itu pernah mencapai zaman kegemilangan dengan status nombor satu di dunia ketika pemerintahan Presiden kedua, Suharto.

“Tetapi ia terus hilang tiba-tiba, mungkin kerana kebanyakan pengusaha yang bergerak ketika itu adalah syarikat swasta.

“Maka pemerintah selepas zaman Pak Suharto abai untuk struktur (industri tekstil).

“Kini peralatan dan mesin fabrik ini sudah tua (uzur).

“Malah ketika Jokowi (Presiden Indonesia sekarang memperuntukkan dana untuk membantu menghidupkan semula, jadi sudah terlambat,” ujarnya.

Tambah beliau, Indonesia juga terikat dengan perjanjian perdagangan bilateral sehingga terpaksa membeli kain tenun daripada Amerika Syarikat.

Ujarnya, situasi itu berbeza dengan China yang berkeupayaan mengeluarkan produk tekstil dalam kapasiti besar dan menjual dengan harga sangat murah.