X

Kindly register in order to view this article
!

Jho Low nafi jadi dalang 1MDB

Jho Low
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mendakwa beliau hanya bertindak sebagai perantara untuk perjanjian melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerusi laporan dikeluarkan Reuters.

Kenyataan itu, sekali gus menafikan tuduhan beliau merancang untuk melarikan berbilion dolar Amerika Syarikat (AS) daripada dana milik negara Malaysia tersebut.

Sebelum ini, Jho Low berulang kali membuat penafian tentang salah laku dan dakwaan penyelewengan melibatkan AS$4.5 bilion (RM18.5 bilion) daripada 1MDB yang didakwa bermotifkan politik.

"Individu perseorangan dan syarikat hanya bertindak sebagai pencadang atau perantara sepanjang masa itu. Ia bukan situasi yang unik.

"Saya diminta untuk membantu kerana saya mempunyai hubungan yang baik dengan ahli perniagaan asing berpengaruh dan pembuat keputusan," katanya menerusi wawancara bersama akhbar Singapura, Straits Times yang diterbitkan hari ini.

Ketika disoal kenapa beliau masih melarikan diri, Jho Low berkata, beliau bersama keluarganya kononnya menjadi mangsa kerajaan Malaysia yang didakwa mengabaikan hak asasi manusia dan proses kehakiman yang adil dengan melabel dirinya sebagai dalang di sebalik skandal menggemparkan itu.

Menurutnya, 'hubungan profesionalnya' turut membantu Malaysia membina hubungan kukuh dengan sekutu utama, Arab Saudi seperti menambah kuota jemaah haji dan pelaburan dalam sektor kewangan, hartanah dan lain-lain di rantau Asia Tenggara.

Bagaimanapun Jho Low enggan mendedahkan lokasinya ketika ini dan mengesahkan beliau ditawarkan pelindungan oleh sebuah negara tidak dinamakan pada Ogos 2019.

November lalu, pihak berkuasa AS mencapai persetujuan dengan Jho Low untuk mendapatkan semula AS$1 bilion (RM4.1 bilion) yang dicuri daripada 1MDB termasuk jet peribadi, hartanah mewah di Berverly Hills, New York dan London serta aset lain.

Perjanjian itu tidak termasuk pengakuan bersalah dan tidak terikat dengan perbuatan jenayah melibatkan Jho Low.

Jho Low yang mendakwa menghidapi beberapa penyakit barah memaklumkan dia kini merancang untuk memberi tumpuan terhadap penyelidikan kanser yang canggih.

"Saya akan menghargai peluang untuk menghidupkan semula usaha dermawan saya dan berkhidmat kepada masyarakat serta membantu orang lain dengan apa cara sekali pun," ujarnya. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!