Polis siasat jenayah penipuan Snuppee Mall

Sebanyak 54 kertas siasatan dibuka terhadap syarikat Snuppee Mall yang didakwa telah menipu pengguna melibatkan kerugian lebih RM1 juta sejak 30 Januari lalu. - Gambar hiasan
Sebanyak 54 kertas siasatan dibuka terhadap syarikat Snuppee Mall yang didakwa telah menipu pengguna melibatkan kerugian lebih RM1 juta sejak 30 Januari lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 54 kertas siasatan dibuka terhadap syarikat Snuppee Mall yang didakwa telah menipu pengguna melibatkan kerugian lebih RM1 juta sejak 30 Januari lalu.

Timbalan Pengarah Siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan mendapati syarikat ini telah mempromosikan perniagaan mereka sebagai platform untuk menjana pendapatan tambahan secara dalam talian.

"Individu yang berminat dikehendaki untuk mendaftar dan membeli pakej yang ditawarkan dengan harga serendah RM50 hingga RM13,700 dan melakukan tugasan yang diberikan.

"Nilai komisen yang diterima bagaimanapun adalah berbeza berdasarkan pakej yang disertai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan mendapati penghujung Januari lalu, Snuppee Mall menawarkan pulangan tunai 80 peratus bagi setiap penambahan dalam akaun Snuppee.

"Ramai pengguna membuat pindahan kepada syarikat terbabit berikutan tertarik dengan tawaran yang diberikan.

"Bagaimanapun, pada 29 Januari lalu, pihak syarikat berkenaan mengeluarkan notis mendakwa syarikat telah muflis dan menutup semua operasi yang dijalankan.

"Siasatan bagi kes ini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Rohaimi meminta, mana-mana individu yang menjadi mangsa diminta tampil membuat laporan polis.

"Polis sentiasa komited dalam memastikan siasatan terhadap skim penipuan ini dilaksanakan dengan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Siasatan dan tindakan selanjutnya akan diambil bagi memastikan penjenayah terlibat segera ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.